Peguam Negara lantik dua peguam swasta

Mohd Haniff ketika ditemui pemberita di luar mahkamah hari ini.
Mohd Haniff ketika ditemui pemberita di luar mahkamah hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas melantik dua peguam swasta bagi mewakili beliau dalam rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mahkamah berkenaan membenarkan prosiding komital (hina mahkamah) yang difailkan bapa anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dua peguam itu ialah Zainur Zakaria dan Datuk S Ambiga manakala dua lagi Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy serta Markiranjit Kaur turut hadir ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Mohd Haniff Katri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, walaupun dikatakan Peguam Negara mempunyai budi bicara mutlak dalam pelantikan peguam swasta, namun pihaknya memohon Mahkamah Tinggi merekodkan bahawa anak guamnya tidak mempersoalkan kebolehan dan kompetensi pegawai di Pejabat Peguam Negara.

"Mereka (pegawai di Pejabat Peguam Negara) sebenarnya berhak mengendalikan prosiding tanpa keperluan pelantikan mana-mana peguam swasta," katanya kepada pemberita.

Haniff juga memaklumkan mahkamah sudah merekodkan makluman itu pada awal prosiding.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November ini sebagai tarikh keputusan bapa Muhammad Adib untuk membatalkan rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang membenarkan prosiding komital dimulakan.

Sebelum ini pada 27 Ogos lalu, Koroner Rofiah membuat keputusan membenarkan prosiding komital itu didengar sebelum Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan itu dua hari kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Adib dapat kebenaran 'heret' Tommy ke mahkamah

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.