NS dicadang kira pendapatan perkapita ikut daerah

Mohamad - Foto fail Bernama
A
A

SEREMBAN – Kerajaan negeri dicadangkan membuat pengiraan pendapatan perkapita mengikut daerah kerana dapat memberi petunjuk yang lebih tepat.

Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata, pengiraan perkapita ketika ini dibuat secara purata atau pukal di keseluruhan kawasan sedangkan aktiviti ekonomi di bandar dan luar bandar adalah berbeza.

“Pentingnya untuk kita lihat secara komprehensif kepada petunjuk perkapita ini. Jangan nanti tersilap asas kita ambil perkapita kerana tumpuan ekonomi di Negeri Sembilan tertumpu banyak di Seremban dan Port Dickson.

"Jika di luar bandar pula aktiviti ekonominya adalah pertanian. Banyak kelapa sawit dan getah diusahakan ditambah dengan keadaan sekarang, harga komoditi asasnya pula amat rendah.

“Jangan tertipu dengan perkapita ini kerana akan mengambil kira pendapatan tinggi di bandar dan dimasukkan secara purata dan menjadi pendapatan perkapita kita,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam soalan lisannya berkenaan pendapatan perkapita di Negeri Sembilan ketika ini berbanding dengan purata negara pada Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) berkata, Negeri Sembilan terus menunjukkan corak positif dalam pertumbuhan ekonomi dan berada pada kedudukan yang baik untuk beralih menjadi negeri berpendapatan tinggi dalam tempoh terdekat.

Katanya, tahun lalu Negeri Sembilan mencatatkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita sebanyak RM43,047 iaitu lebih tinggi berbanding RM41,733 tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini menunjukkan kedudukan pendapatan perkapita Negeri Sembilan adalah selari dengan negara ini iaitu RM44,682.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan isi rumah meningkat kepada RM4,579 pada 2016 berbanding RM4,128 pada tahun 2014 iaitu tumbuh pada kadar 5.2 peratus setahun,” katanya.

Selain itu katanya, bagi mengimbangi jurang ekonomi bandar dan luar bandar, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan(PPLBNS2019-2040).

Aminuddin berkata, pelan itu dirangka dengan memberi keutamaan kepada rakyat dalam semua usaha pembangunan.

“Sebanyak enam tumpuan strategik sebagai pandu arah perancangan telah digariskan iaitu pengukuhan keupayaan modal insan, pemerkasaan sumber jaya, pengukuhan daya huni, pengurusan luar bandar berdaya laksana, pengukuhan hubungan signifikan antara bandar dan luar bandar dan pengurusan mampan sumber alam dan biodiversiti,” katanya.