X

Kindly register in order to view this article
!

Tuduhan Malaysia lindungi penjenayah Thailand tak berasas

Mohamad Sabu
A
A

BANGKOK – Tuduhan Malaysia memberi perlindungan kepada penjenayah dari wilayah selatan Thailand yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu adalah tidak berasas.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, semua agensi keselamatan sentiasa memantau kemasukan elemen asing ke Malaysia terutamanya melalui sempadan bersama kedua-dua negara.

“Agensi-agensi keselamatan kedua-dua negara terutamanya yang bertugas di sempadan darat sentiasa berhubung dan bertukar maklumat operasi dan perisikan secara berkala melalui platform Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thailand.

“Sehubungan itu, tuduhan bahawa Malaysia memberi perlindungan kepada penjenayah (Thailand) yang melarikan diri ke Malaysia adalah tidak berasas dan tidak tepat,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Mohamad berkata, Malaysia sentiasa bekerjasama dengan Thailand untuk menjejaki penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu.

Berikutan serangan di Yala pada 5 November lepas, ada pihak mendakwa penjenayah yang terlibat dalam serangan itu telah melarikan diri ke Malaysia.

Dalam serangan itu, sekumpulan individu bersenjata telah menyerang pos kawalan keselamatan di Yala, selatan Thailand dan membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung, anggota polis serta mencederakan lima yang lain.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai di selatan Thailand akan terus membantu kerajaan Thailand untuk mengadakan rundingan rasmi.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya Jeneral Prayuth Chan o-cha pada awal bulan ini telah memberi komitmen untuk membantu Thailand mencari satu jalan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan di selatan Thailand melalui satu perjanjian damai.

“Rundingan rasmi dijadual diadakan semula pada awal bulan depan,” katanya.

Rundingan damai itu digantung sejak Februari lepas berikutan kekecewaan Majlis Syura Patani (Mara Patani) terhadap sikap ditunjukkan Ketua Panel Rundingan Damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorath, yang enggan bertemu panel rundingan Mara Patani di Kuala Lumpur.

Dengan barisan Kabinet baharu, Thailand telah melantik Jeneral Wanlop Rugsanaoh sebagai ketua perunding baharu proses damai selatan itu berkuat kuasa 1 Oktober lepas.

Bekas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand itu menggantikan tempat Udomchai yang dilantik sebagai senator.

Malaysia memilih bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.

Sejak beberapa tahun lepas, Mara Patani mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang telah berlanjutan sejak 2004.

Konflik di empat wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla yang meletus pada 2004 sudah mengorbankan lebih 7,000 nyawa. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!