Isu rumah tak terjual makin parah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah perumahan yang berlaku dalam negara perlu diberi perhatian ahli politik kerana ia dilihat semakin parah.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) Parti IKATAN Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, mengikut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara atau National Property Information Center (NAPIC), isu rumah siap dibina tidak terjual (residential overhang) semakin rumit.

Menurutnya, mengikut definisi NAPIC, 'residential overhang' bermaksud unit kediaman yang telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) tetapi masih belum terjual lebih daripada sembilan bulan selepas dilancarkan.

"Berdasarkan laporan Pasaran Harta oleh NAPIC untuk tahun 2018, sejumlah 32,313 unit harta tanah kediaman yang belum terjual dengan nilaian kira-kira RM19.8 bilion.

"Berdasarkan laporan Pasaran Harta oleh NAPIC untuk tahun 2019 pula, sejumlah 32,936 unit harta tanah kediaman yang belum terjual dengan nilaian kira-kira RM20 bilion sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 1.9 peratus unit dan 0.5 peratus nilai berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Katanya, secara keseluruhannya sebanyak 120,309 unit dilancarkan pada suku pertama 2019 dan sebanyak 27.4 peratus tidak terjual atau 'overhang'.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28.9 peratus jumlah unit tidak terjual adalah rumah teres, 37.7 peratus adalah rumah semi-D, 29.0 peratus adalah flat kos rendah dan rumah kos rendah, 24.9 peratus adalah kondominium atau flat dan 21.3 peratus lain-lain jenis perumahan.

"Berdasarkan statistik itu, jumlah unit rumah dan flat kos rendah adalah penyumbang kedua terbesar unit yang tidak terjual," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahir berkata, keadaan itu membimbangkan kerana rumah kos rendah dan flat kos rendah dibina untuk golongan B40 untuk mereka mendapatkan kemudahan asas tempat tinggal yang selesa daripada panas matahari dan hujan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh juga, hampir 62 peratus daripada jumlah keseluruhan unit tidak terjual adalah bernilai RM 500,000 dan ke bawah, manakala baki 38% adalah unit bernilai RM 501,000 dan ke atas.

"Setelah diperincikan, sebanyak 37peratus pula adalah unit bernilai RM 300,000 dan ke bawah termasuklah unit rumah mampu milik yang dicanang kerajaan," katanya.

Menurutnya, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) bersetuju dengan langkah kerajaan untuk meneruskan inisiatif Skim Perumahan Belia (SPB) BSN.

"Jelas skim itu dapat membantu golongan belia untuk memiliki rumah pertama dengan cara mudah dan selamat.

"Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mencadangkan supaya inisiatif ini ditambah baik dengan memperluaskan inisiatif ini kepada anak muda yang belum berkahwin atau bercerai agar mereka tidak disisihkan hanya kerana status perkahwinan," katanya.