Kegagalan jadi pemangkin semangat dua sahabat

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penilaian keputusan akhir tahun (TOV) dua sahabat ini hanya 1 A sahaja.

Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) Nur Aminatul Othman, 12 dan Ellya Irdina Aisya Mohd Rijaluddin, 12, berjaya meraih keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Nur Aminatul berkata, mereka tidak menyangka kesungguhan belajar secara berkumpulan selama hampir setahun membawa kejayaan membanggakan.

"Sebelum ini dalam ujian penilaian take-off value (TOV) awal tahun ini kami berdua hanya dapat 1A sahaja sebab ada subjek-subjek yang agak lemah dan susah.

"Dalam ujian percubaan pula kami sama-sama dapat 5A. Alhamdulillah, dalam peperiksaan sebenar kami dapat 6A. Memang tak sangka sebab kami tak letak sasaran yang begitu tinggi sehingga capai 6A," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Kecil, di sini.

Nur Aminatul berkata, dia dan Ellya Irdina Aisya sering menghabiskan waktu di antara tiga hingga empat jam untuk mengulangkaji pelajaran di perpustakaan.

"Kalau ada mata pelajaran yang agak sukar, kami akan merujuk kepada guru," katanya yang berkawan baik sejak darjah lima.

Dalam pada itu, Nurul Aminatul berkata selain belajar berkumpulan, dia juga mengamalkan solat hajat hampir setiap hari memohon kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya amalkan solat hajat setiap hari berdoa agar beroleh kejayaan dalam peperiksaan ini.

"Alhamdulillah, berkat kesungguhan belajar, doa ibu bapa dan guru serta sokongan semua pihak kami mendapat keputusan cemerlang hari ini," katanya.

Dua sahabat yang bercita-cita menjadi doktor itu masih dalam perancangan sama ada menyambung tingkatan 1 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah (SM) Imtiaz atau Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA).

Kedua-dua murid itu antara 20 murid yang mendapat 6A dalam UPSR di SKSS1 daripada keseluruhan 224 calon.