Semua pihak perlu main peranan atasi jenayah seksual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang berkaitan jenayah seksual perlu ditambah baik selain peranan semua pihak bagi membendung jenayah seksual yang dilaporkan semakin serius terutama di Selangor.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ruhani Mat Min berkata, pelaksanaan kempen advokasi melibatkan institusi dan agensi berkaitan seperti pihak sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ahli masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurutnya, masyarakat tidak semestinya hanya membuat laporan terhadap sebarang kemungkinan kes jenayah seksual namun mereka harus mengetahui peranan bagi mengatasi masalah itu.

"Sebagai contoh, kemungkinan keluarga yang terlibat dengan jenayah seksual ini terdiri daripada mereka yang tersisih dan tidak diberi perhatian oleh masyarakat. Apabila terpinggir, pelaku akan berada dalam keadaan tekanan dan akan melakukan jenayah sebagai langkah melepaskan tekanan terbabit.

"Disebabkan itulah, masyarakat kena peka dan berhenti mencari salah individu lain sedangkan mereka tahu peranan masing-masing. Apa yang penting adalah bagaimana mewujudkan suasana lebih selamat dan saling dihargai antara satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berdukacita dengan masalah jenayah seksual di negeri ini yang semakin berleluasa dalam masyarakat dan mengesyorkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pelaku.

Kebimbangan itu dizahirkan baginda berikutan jumlah kes yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor melibatkan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram adalah tinggi.

Katanya, ibu bapa juga perlu mendapat kefahaman sepenuhnya mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap institusi kekeluargaan.

Artikel Berkaitan:

"Kemungkinan perkara ini berlaku kerana kurang kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab ibu bapa itu sendiri dan apabila ini berlaku, ia mendorong kepada perkara tersebut.

"Kalau mereka faham peranan dan tanggungjawab mereka melibatkan diri sendiri, pendidikan, nilai masyarakat serta amalan keagamaan, saya rasa masalah ini tidak akan berlaku," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Sultan Sharafuddin bimbang kes jenayah seksual meningkat di Selangor