Ahli Parlimen ponteng sidang elok letak jawatan

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan kecewa dan menegur sikap ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga menyebabkan persidangan bermula lewat kelmarin.

Perdana Menteri berkata, kejadian itu adalah kali kedua kuorum tidak mencukupi. Memang isu Dewan Rakyat kosong bukan sesuatu yang baru. Lebih menghairankan, ia berulang selepas Perdana Menteri memberi tegurannya.

Pada 17 Oktober lalu, situasi sama pernah berlaku apabila jumlah ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020. Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat sebagai wakil mereka di Dewan Rakyat untuk menyuarakan masalah, soal pembangunan kawasan, dasar-dasar kerajaan dan sebagainya selain menjaga kebajikan rakyat di kawasan yang diwakili.

Perlu diingatkan, sidang Dewan Rakyat adalah tempat penting untuk membincangkan kepentingan awam dan perbahasan rang undang-undang demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Ahli Parlimen mempunyai keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 63. Dengan adanya peruntukan itu, mereka boleh berhujah dan membawa suara rakyat tanpa gentar dan takut.

Oleh itu, mereka perlu hadir pada setiap sesi perbahasan sekiranya tidak mempunyai apa-apa yang lebih penting daripada sesi di Parlimen.

Itu adalah peranan paling besar ahli Parlimen. Sesuatu yang amat memalukan sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab itu, ia seolah-olah mengkhianati mandat rakyat.

Ahli Parlimen bukan budak kecil yang patut dimarahi kerana sikap culas mereka itu. Bagi rakyat, wakil yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sudah tentulah berpengalaman, bijaksana, berwibawa dan mampu membuat keputusan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana untuk memastikan ahli Parlimen hari ini tidak ponteng Dewan Rakyat? Mungkin antaranya elaun dipotong, nama mereka disenarai hitam daripada bertanding pada PRU akan datang, digantung menghadiri Dewan Rakyat sekiranya tidak hadir tiga hari berturut-turut dan sebagainya.

Sekiranya sudah tidak berminat lagi dengan tugas dan tanggungjawab, mereka boleh meletakkan jawatan. Masih ada masa untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk mencari ahli Parlimen baharu yang lebih rajin dan komited.