Pelabur ekuiti, forex masih bersikap tunggu dan lihat: Penganalisis

Gambar hiasan
A
A

SENTIMEN asas pasaran ekuiti dan tukaran asing tempatan secara amnya kekal positif terhadap prospek Malaysia bagi tahun ini walaupun kalangan pelabur masih bersikap ‘tunggu dan lihat’ dengan kebanyakan mereka bercuti sempena Tahun Baru 2019.

Menurut penganalisis kewangan, sentimen tersebut lebih ketara biar pun pasaran masih menyaksikan aliran keluar bersih dana.

Malah berdasarkan asas kumulatif, Malaysia sejak Januari 2018 terus kekal sebagai negara dengan aliran keluar bersih kedua paling rendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang bernilai US$2.9 bilion.

Mengulas perkara itu, Penganalisis Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Adam Mohamed Rahim berkata pada malam Tahun Baru 2019, pelabur asing melakukan jualan bersih sebanyak RM36.1 juta di Bursa Malaysia berikutan data yang menunjukkan penurunan aktiviti pembuatan China iaitu pertama kali sejak 2016.

“Dalam pada itu, bursa tempatan pula kekal tidak berubah apabila ditutup 0.09 peratus lebih rendah kepada 1,690.58 mata pada 31 Disember lepas. Namun, perlu dilihat juga bahawa (indeks petunjuk utama) FBM KLCI naik 55 mata sejak mencecah paras terendah 1,635 mata pada 18 Disember 2018," katanya.

Menurut Adam, apabila pasaran dibuka semula selepas cuti Tahun Baru tersebut, jualan bersih asing meningkat kepada RM55.4 juta pada Rabu, iaitu yang tertinggi dalam masa sehari.

“Bursa tempatan mencatat kerugian harian terbesarnya sejak akhir Oktober 2018 apabila susut 1.33 peratus atau 22.47 mata untuk ditutup kepada 1,668.11 mata.

"Bagaimanapun, pada keesokannya (Khamis), kelompok pelabur asing menjadi pembeli bersih apabila membeli ekuiti tempatan bernilai US$64.6 juta. Pelabur ternyata tidak mempedulikan amaran jualan Apple yang sebaliknya membantu peningkatan FBM KLCI sebanyak 0.46 peratus kepada 1,675 mata.

"Ini menunjukkan pelabur asing mengeluarkan sejumlah RM26.9 juta bagi tempoh Isnin hingga Khamis, iaitu angka lebih rendah berbanding aliran keluar asing minggu lepas sebanyak RM101.6 juta,” katanya.

Adam turut berpendapat, bagi minggu bermula 7 Januari ini, rundingan perdagangan antara Beijing dan Washington akan terus mempengaruhi sentimen pasaran.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Pengarah Pasaran Ekuiti Maybank Investment Bank, Wong Chew Hann berkata pelabur asing merupakan penjual bersih dengan melepaskan ekuiti Malaysia bernilai RM1.0 bilion pada Disember 2018 iaitu aliran yang berlaku bagi tempoh sembilan bulan berturut-turut pada 2018.

“Berdasarkan keadaan itu, jualan bersih asing diserap oleh belian tempatan yang menyaksikan KLCI menokok 0.6 peratus bagi bulan ke bulan.

“Jualan bersih pada Disember 2018 (secara puratanya) meningkatkan jualan bersih asing sepanjang tahun lepas kepada RM11.9 bilion yang berbeza daripada belian bersih asing sebanyak RM10.6 bilion pada 2017,” katanya menerusi satu nota penyelidikan.

Beliau juga mengetengahkan beberapa peristiwa penting pada bulan ini yang dilihat boleh mempengaruhi prestasi pasaran.

“Ini termasuk berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual pada 23-24 Januari. Kami tidak menolak kemungkinan bank pusat itu akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2019 dalam usaha merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selain itu, akan ada potensi semakan penarafan kredit negara oleh pihak (agensi penarafan antarabangsa) Standard & Poor dan Fitch yang juga dijadual pada awal tahun ini,” katanya.

Menurutnya, memandangkan 2019 akan menjadi satu lagi tahun yang tidak menentu, pertumbuhan global diunjur berkurangan 3.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2018 berikutan pendedahan kepada tekanan serta risiko pertumbuhan yang mulai memberi kesan akibat amalan sistem monetari lebih ketat, keadaan kewangan serta impak perang dagangan Amerika Syarikat dan China.

"Halangan serta risiko pertumbuhan ini mencetuskan ketidaktentuan dalam semua kelas aset yang kami jangka akan berterusan pada tahun ini.

“Bagi Malaysia, kami mengunjurkan ekonomi akan mencatat pertumbuhan bawah 5 peratus yang menggambarkan impak bercampur-campur terhadap permintaan domestik ketika ekonomi melalui proses pelarasan pasca pilihan raya umum ke-14. Ini terutamanya dari segi fiskal serta penyederhanaan pertumbuhan global yang mengurangkan sumbangan permintaan luaran bersih kepada pertumbuhan sebenar KDNK,” katanya.

Selain itu, menyentuh prestasi ringgit, Hong Leong Bank Bhd menerusi satu nota penyelidikannya berkata unit tempatan itu mengukuh 0.51 peratus bagi minggu ke minggu berbanding dolar US yang lebih lemah.

Malah, ringgit turut mengukuh berbanding (unit) tujuh negara Kumpulan 10 (G10) berikutan minat belian yang lebih ketara pasca cuti Tahun Baru 2019.

“Kami kekal positif terhadap ringgit berikutan jangkaan dolar US mencatat kerugian lebih ketara pada minggu depan. Bagaimanapun, pulangan itu adalah lebih sederhana berikutan tekanan daripada tindakan mengelak risiko di pasaran.

“Oleh itu, (perkembangan seperti) kejutan positif menerusi data-data Malaysia akan memberi sedikit sokongan. Kami juga kekal berpendapat bahawa dolar US akan mengatasi ringgit dan seterusnya susut pada masa akan datang,” katanya.

Hong Leong juga menjangkakan ringgit akan menguji paras 4.1500 berbanding dolar US.

Dalam pada itu, Ketua Pakar Ekonomi MIDF, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, ringgit berkemungkinan susut sedikit berbanding dolar US pada akhir minggu ini selepas mencatat peningkatan di awal dagangan selepas berakhirnya cuti Tahun Baru 2019.

“Kebimbangan mengenai kelemahan ekonomi Amerika Syarikat serta tiada kenaikan kadar faedah di negara maju itu turut mempengaruhi prestasi dolar tersebut. Pada masa terdekat ini, kami mengunjurkan ringgit akan diniagakan sekitar 4.12 dan 4.15 berbanding dolar US,” katanya.

Kamaruddin berkata MIDF juga menjangkakan ringgit akan mencecah paras 4.05 pada 2019.

Sementara itu, perkembangan korporat di negara ini menyaksikan pelantikan Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi tempoh tiga tahun selepas memangku jawatan itu sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan pelantikan Raja Azmi itu sebagai bertepatan dengan keperluan MAHB yang sedang mengalami peningkatan ketara bilangan pengguna lapangan terbang di Malaysia.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia