Kampung Baru perlu dibangunkan sebagai lokasi pelancongan

(Dari kiri) Personaliti TV, Nur Affizza Azmi selaku Moderator, para panelis, Naib Pengerusi KRT Pangsapuri 17 Tingkat, Kampong Bharu, Zahin Zakaria (dua kanan), Presiden Kelab Pemuda Kampong Bharu, Ad Adib Saharuddin, dan Pengarah Kreatif Ludic Link Studios, Syarida Syarif (kanan) pada program #cakaplah membincangkan topik Kampung Baru: Apa Yang Anda Mahu? berlangsung di Dewan WUI, Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam. - Foto SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
(Dari kiri) Personaliti TV, Nur Affizza Azmi selaku Moderator, para panelis, Naib Pengerusi KRT Pangsapuri 17 Tingkat, Kampong Bharu, Zahin Zakaria (dua kanan), Presiden Kelab Pemuda Kampong Bharu, Ad Adib Saharuddin, dan Pengarah Kreatif Ludic Link Studios, Syarida Syarif (kanan) pada program #cakaplah membincangkan topik Kampung Baru: Apa Yang Anda Mahu? berlangsung di Dewan WUI, Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam. - Foto SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan pemulihan semula di Kampung Baru dengan menjadikan Kampung Morten, Melaka sebagai contoh.

Anak jati Kampung Baru yang juga Pengarah Kreatif Ludic Link Studios, Syarida Sharif berkata, pelaksanaan pembangunan di Kampung Baru dikhuatiri bakal mengubah keseluruhan landskap serta melenyapkan segala kebudayaan dan warisan Melayu di kawasan itu.

Menurutnya, pendekatan pemulihan semula itu juga secara tidak langsung memberi satu nilai tambah dari sudut pelancongan dan menarik lebih ramai kehadiran pelancong bagi mengenali dan melihat sendiri sosial kehidupan serta kebudayaan masyarakat Melayu di ibu kota.

"Cerita Kampung Baru sering dipalitkan dengan warisan Melayu. Namun, apabila bercakap tentang pembangunan pastinya warisan, imej akan hilang dan sekaligus cerita kita semua hilang dan ini semua telah dibuktikan.

"Saya anak jati Kampung Baru, dapat melihat landskap itu berubah sekitar tahun 1980-an lalu seiring dengan peredaran masa...sekolah telah menjadi pusat membeli belah dan kini apabila kerajaan ingin lakukan pembangunan saya risau.

"Secara peribadinya saya lebih menyokong kepada pemulihan semula berbanding pembangunan dirancang kerajaan. Andai dilihat senibina atau keadaan rumah yang ada tidak cantik, mungkin boleh dijadikan sebagai satu projek. Sebagai contoh, bagi tempoh dua tahun kepada penduduk baiki keadaan rumah dan jika tidak mampu dibuat mungkin boleh dikenakan penalti dan sebagainya.

"Jadikan Kampung Baru seperti Kampung Morten, kerajaan perlu lihat isu-isu infrastruktur seperti lampu, sistem perparitan serta jadikan kampung ini menarik dan unik sebagai satu destinasi pelancongan.

"Namun pembangunan yang ingin dilaksanakan kerajaan itu sudah pasti akan mengubah landskap Kampung Baru yang ada kini secara keseluruhan dan dalam hal ini juga kita hendak satu jaminan yang kukuh daripada kerajaan agar budaya serta warisan Melayu tidak akan lenyap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pandangan dan pendapat itu dilontarkan Syarida sewaktu sesi bual bicara #cakaplah bertajuk Kampung Bharu: Apa yang Anda Mahu? berlangsung di Dewan WUI, Kompleks Media Karangkraf di sini malam ini dengan menampilkan personaliti televisyen, Nur Affizza Azmi sebagai moderator.

Selain Syarida, dua lagi panel yang turut diundang ialah Presiden kelab Pemuda Kampung Baru, Ad Adib Shaharu serta Naib Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri 17 Tingkat, Kampung Bharu, Zahin Zakaria.

Tambahnya lagi, nasi lemak Kampung Baru dan bubur lambuk Masjid Kampung Baru antara produk identiti kampung berkenaan dan tidak mustahil semua itu juga akan hilang seiring dengan pembangunan ingin dilaksanakan kerajaan dan hanya cerita tanpa bayangan imej sahaja yang boleh disampaikan pada generasi akan datang kelak.