Masjid yang alami

A
A

JIKA ada suatu hal yang sangat penting diwujudkan sebagai ciri unggul pada institusi masjid ialah ciri alami. Iaitu sebuah institusi yang benar-benar lestari dan mesra alam.

Masjid adalah Baitullah. Sebuah rumah yang melambangkan pengabadian manusia kepada Pencipta. Malah masjid berasal daripada kata-kata sujud. Penciptaan yang mewujudkan seluruh alam jagat raya dengan segala sifat keindahan dan keseimbangan yang sujud kepada Yang Maha Agong.

Baitullah adalah sebuah rumah yang menghubungkan antara manusia dengan Pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.

Maka masjid perlu selari dengan konsep keseimbangan alam. Komponen alam semestinya menjadi komponen serasi dengan masjid. Mendidik manusia supaya memulihara keseimbangan alam.

Menjadi kelaziman pengurus masjid tidak melihat penting dibangunkan masjid dalam konsep sebuah raudhah yakni sebuah taman dengan kehijauan dan senibina yang secocok dengan fungsi alam.

Masjid harus diuruskan dengan mengambil kira kelestarian alam. Penggunaan air dan elektrik seharusnya diurus agar tidak membazir malah hendaklah diwujudkan cara konsumsi tenaga yang boleh menjimatkan.

Masjid yang dibina dengan mengambil kira aliran udara dalam bangunan masjid menyebabkan pertimbangan fungsi alam sepatutnya diperhatikan.

Kini hampir kebanyakan masjid disejukkan dengan pendingin hawa. Sementara itu dianggap suatu cara menjadikan masjid lebih nyaman akan tetapi penggunaan elektrik menjadi sangat tinggi. Ditambah pula kos penyelenggaraan alat pendingin hawa membebankan dana masjid.

Demikian juga pengguna air yang terlalu banyak akibat paip air untuk berwuduk lebih popular daripada kolah yang dapat menjimatkan penggunaan air.

Demikian lazim diperhatikan air diguna dengan sangat membazir oleh pengunjung masjid tanpa merasa bersalah bagaimana air adalah komoditi masjid yang sangat penting dipelihara.

Diperhatikan juga persekitaran masjid sangat dikuasai dan didominasi oleh ruang parkir. Ruang laman masjid dipenuhi dengan kereta yang diberi keutamaan. Ruang masjid dikonkritkan sehingga persekitaran menjadi panas.

Pulihara

Sudah sampai masanya pengurusan masjid dicelikkan kepada kepentingan alam sekitar seperti perkaitan kehidupan manusia dengan kepelbagaian bio, planet dan alam serta hubungan dengan masa depan generasi mendatang.

Masjid sebagai institusi agama perlu menampilkan amalan memulihara alam secara praktis.

Mewujudkan masjid yang mesra ekologi melambangkan matlamat manusia sebagai khalifah alam adalah didambakan.

Masjid Quba adalah masjid pertama yang mesra ekologi. Masjid yang cukup sederhana daripada batang pohon tamar beratapkan daun pohon tamar dan berlantaikan tanah dan bata daripada tanah amat lestari.

Demikian bina seumpama itu disambung dalam pembinaan Masjid Djenne di Mali yang mapan alam di mana suhu dalam masjid terkawal secara alami.

Jordan, sebuah negara yang indah yang punya cahaya mentari yang banyak kini menunjukkan kepimpinan membina masjid mesra ekologi kerana hampir 100 peratus masjid di negara itu mengguna tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy). Sementara itu, persekitaran masjid ditanam pokok- pokok yang menyerap karbon dioksida.

Indonesia ada lebih 800,000 masjid yang kini sedang digalakkan menjadi masjid mesra ekologi selepas sekitar 1,000 sudah bermula menjelang 2020.

Masjid akan dibantu bagaimana tenaga boleh diperbaharui, menguruskan air dan makanan secara mapan, mengurang dan kitar semula bahan buangan sampah dan menjalankan pendidikan alam sekitar ke arah menjadikan masjid lebih hijau.

Di Dubai, masjid yang dibina pada 2014 adalah pertama yang memenuhi panduan Majlis Bangunan Hijau US.

Tamadun Islam telah menolak pembaziran sebagai pelanggaran Rahmat ALLAH.

Masjid lestari alam adalah terjemahan Islam yang hidup yang mengingat para pengunjung kepada Pencipta segala kejadian di alam ini.

Sayangnya, 57 negara Islam masih jauh daripada menjadi celik hijau.

Masjid mesra alam memerlukan seni bina, bangunan, operasi dan pengembangan masa depan.

Masjid adalah pusat komuniti dan tempat pembelajaran yang sangat penting untuk mendidik masyarakat.

Oleh itu, tiba masanya masjid kembali menghayati Masjid Quba yang mesra alam.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.