X

Kindly register in order to view this article
!

Sembilan bekas atlet Perak terima manfaat UKBAP

Howard Lee (tiga dari kiri) bersama penerima sumbangan UKBAP.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerusi Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak (UKBAP) telah menyalurkan sumbangan lebih RM37,000 kepada sembilan bekas atlet negeri itu sejak ia dimulakan April lalu.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, sumbangan itu antara inisiatif kerajaan memastikan kebajikan bekas atlet terus terbela sejajar dengan kecemerlangan diraih dalam arena sukan.

"Sejumlah RM25,150 telah disalurkan kepada lima bekas atlet sebelum ini dan hari ini, empat lagi bekas atlet menerima sumbangan melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM12,000.

"Diharap kebajikan mereka terutama dari aspek kesihatan akan lebih terjaga dengan adanya inisiatif khas seperti ini," katanya pada sidang media hari ini.

Empat bekas atlet yang menerima sumbangan hari ini adalah Ahmad Fadzil Zainal Abidin, 60, pemain hoki yang pernah mewakili negara di Sukan Olimpik 1984 dan 1992; jurulatih olahraga, Tan Choo Mong, 74, dan Shamsuddin Jaafar, 83, bekas atlet olahraga yang mewakili negara dalam Sukan Olimpik 1972.

Turut menerima sumbangan bekas atlet olahraga wanita, S Josephine Mary, 52, yang pernah mewakili negara dalam Sukan Asia, Beijing pada 1990. Beliau kini disahkan menghidap kanser.

Howard Lee (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan sebanyak RM12,000 kepada Pengetua SMK Gunung Rapat, Roslen Hashim.
Howard Lee (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan peralatan sebanyak RM12,000 kepada Pengetua SMK Gunung Rapat, Roslen Hashim.

Menerusi Majlis Sukan Negeri, sebanyak RM65,000 diperuntukkan bagi tujuan itu dengan menyasarkan bekas atlet mempunyai masalah kesihatan, berusia 40 tahun ke atas dan pernah mewakili Perak sekurang-kurangnya dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma).

Dalam majlis itu, Howard Lee turut menyampaikan bantuan peralatan sebanyak RM12,000 kepada Sekolah Sukan Negeri (SSN), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat.

Menurutnya, sumbangan itu bagi membantu pembangunan sukan bola jaring, bola sepak, hoki, memanah, olahraga dan sepak takraw di bawah program Penyediaan Atlet Sukma.

"Sekolah ini telah melahirkan atlet bertaraf antarabangsa antaranya juara remaja muaythai, Nur Amisha Azrilrizal dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi (pemegang rekod dunia acara 100 meter bawah 16 tahun)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!