Johor beri penekanan pencemaran Sungai Skudai, Sungai Tebrau

 Datuk Dr Sahruddin Jamal
Datuk Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa pemantauan dan penyelesaian pencemaran sungai sebagai langkah mengatasi masalah pencemaran sungai di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sungai-sungai tercemar dalam keadaan kritikal iaitu Sungai Skudai dan Sungai Tebrau akan diberikan penekanan dalam jawatankuasa terbabit.

“Kerajaan akan membeli dua buah bot pengutip sampah berjumlah RM3 juta bagi membersihkan Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

“Kerajaan negeri menjunjung tinggi langkah Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengurniakan semula insentif sebanyak RM500,000 yang diterima oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2019 bagi tujuan membiayai pembelian bot pengutip sampah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membuat pelaporan dan pemantauan berkala terhadap kilang, premis dan industri pengeluar sisa berjadual serta kimia.

“Penambahan tiga stesen pemantauan kualiti air di Sungai Skudai, Sungai Ulu Sedili Besar dan Sungai Johor, dengan kos sebanyak RM500,000 setahun merupakan antara langkah memantau pencemaran sungai.

“Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) akan melaksanakan inisiatif kerja-kerja pemeliharaan sungai di negeri ini dengan mengaplikasikan teknologi mikrob 'j-biotech active' yang berfungsi untuk memelihara dan meningkatkan kualiti air sungai,” katanya.

Artikel Berkaitan: