Majlis Sukan Pahang galak atlet berpakaian patuh syariah

Mohd Johari pada sidang DUN Pahang hari ini.
A
A

KUANTAN - Majlis Sukan Pahang sentiasa menggalakkan setiap atlet yang beragama Islam mengikut kaedah pemakaian yang bersesuaian dan patuh syariah.

Exco Sumber Manusia, Belia Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, pada masa era teknologi sukan yang semakin canggih ini banyak produk pakaian yang lebih menutup aurat diwujudkan dan sesuai digunakan untuk sukan.

Menurutnya, atlet wanita Islam bagi gimnastik, gimrama, bola jaring dan lain-lain sukan juga ada yang mengenakan pakaian yang menutup aurat sebelum ini.

"Penggunaan seluar 'tight' panjang juga digalakkan semasa beraksi sama ada semasa latihan atau pertandingan.

"Walau bagaimanapun, Majlis Sukan Pahang juga tidak menghalang sekiranya ada atlet yang masih meneruskan etika pemakaian sedia ada kerana ia atas keselesaan individu serta mengikut spesifikasi peraturan pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah drastik membendung penggunaan bahan terlarang doping dalam kalangan atlet negeri ini secara lebih berkesan.

Mohd Johari berkata, bagi tujuan itu dua pegawai dan lima atlet angkat berat telah dihantar ke Seminar Anti Doping anjuran Persatuan Angkat Berat Malaysia dan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

"Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai keseluruhan maklumat berkaitan anti doping. Majlis Sukan Pahang juga telah melaksanakan pre test doping siri pertama pada 17 Ogos 2018 membabitkan 14 atlet angkat berat negeri ini.

"Majlis juga mengawal perolehan makanan tambahan dengan mengemukakan senarai cadangan makanan tambahan untuk dirujuk kepada Unit Pemakanan Sukan Institut Sukan Negara. Hal ini supaya makanan tambahan mematuhi bahan larangan yang digariskan ADAMAS," katanya.