Rakyat Malaysia sertai Daesh di Syria pulang jalani hukuman

Ayob Khan pada sesi Sinar Live di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A

SHAH ALAM - [VIDEO] Seramai lapan orang rakyat Malaysia yang sebelum ini menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria telah pulang semula dan menjalani hukuman di negara ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sesi Sinar Live di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Menurutnya, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana rakyat Malaysia ke negara bergolak itu dan terlibat dengan kumpulan pengganas.

"Paling baik ialah pulang ke Malaysia untuk menghadapi undang-undang negara. Keadaan di Syria kini meruncing dengan jumlah wanita dan kana-kanak yang berada di sana seramai 27 orang.

"Balik ke Malaysia dan kita akan uruskan kemudian tapi bagi wanita dan kanak-kanak kita akan jalankan program khusus.

"Mustahil kanak-kanak berusia lima tahun kita mahu tangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Kita akan menggunakan pakar psikologi dan agamawan untuk memulihkan ideologi mereka ini," katanya.

Menurutnya, dalam konteks menangani keganasan, pihak polis banyak bergantung kepada maklumat risikan.

"Kita amat memerlukan maklumat yang disalurkan oleh masyarakat awam. Kalau ada ibu bapa, rakan sepejabat yang sering bercakap atau berkongsi material yang ada kaitan dengan fahaman-fahaman militan atau mungkin hadis yang disalahtafsir, ini perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Kedua nak atau tidak kita perlu pantau aktiviti anak-anak. Ibu bapa kalau boleh jangan merasakan mereka dapat selesaikan sendiri perkara itu, berhubunglah dengan pihak polis," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada benar atau tidak wujud tangan ghaib yang menyukarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Ayob berkata, dalam konteks LTTE, belum ada dalam sejarah tangkapan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan perkara ini mungkin menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat.

"Setakat ini Alhamdulillah saya banyak kali bercakap bahawa kita tidak akan bertolak ansur tidak kira siapa orang ini atau daripada parti mana mereka ini.

"Kalau didapati bersalah kita akan tangkap. Cukup bukti kita siapkan kertas siasatan dan biarkan Peguam Negara teliti kertas siasatan itu serta biar mahkamah tentukan hukuman. Prosedur ini kita ikut.

"Semua tindakan kita berdasarkan undang-undang yang ada. Kalau ada campur tangan, bagaimana dua ADUN ini boleh dituduh di mahkamah? Isu tangan ghaib ini mungkin satu persepsi," jelasnya.