Pemuda Pas pertahan Abdul Hadi, perli Rafizi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mempersoalkan berapakah jumlah laporan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berdasarkan 33 analisis dan pandangan, termasuk pembongkaran pelaburan-pelaburan Tabung Haji (TH) oleh beliau.

Pengarah Strateginya, Mohd Syahir Che Sulaiman turut bertanya, berapa pula kertas siasatan yang dibuka oleh suruhanjaya itu bersandarkan kepada analisis Rafizi.

Menurutnya, timbul pertanyaan sama ada tindakan Rafizi selama ini mempunyai merit dan asas yang kukuh untuk dipercayai.

"Jawapan kepada persoalan ini akan menilai sama ada analisis saudara Rafizi selama ini boleh dipercayai atau sebaliknya. Pertama, pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu tadbir urus korporat TH adalah jelas sebagaimana yang terkandung di dalam kenyataan bertarikh 12 Disember 2018 dan ucapan penuh beliau dalam program dialog di London tersebut.

"Antara ucapan beliau adalah, Pas memandang serius tuduhan dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia, namun Pas berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang menteri sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rafizi sebelum ini yang menegur Abdul Hadi agar jangan mudah berpuas hati dalam isu TH.

Rafizi juga berkata, sejak 2013, beliau telah menulis 33 analisis dan pandangan, termasuk membongkar pelaburan-pelaburan TH yang merugikan penabung sehingga mencecah berbilion ringgit dan mengajak Abdul Hadi sudi meluangkan sedikit masa menimba ilmu di luar kepakaran beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, ulasan Rafizi terhadap Abdul Hadi hanya bersandarkan kepada laporan portal berita dan dipetik sebahagian ucapan Presiden Pas itu ketika berdialog di London tanpa meneliti keseluruhan ulasannya.

Artikel Berkaitan:

"Dalam ucapannya juga, Abdul Hadi berkata, Pas menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) atau Parlimen.

"Ia bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik (PricewaterhouseCoopers), sebelum dilaksanakan oleh kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri," katanya.

Jelasnya, Abdul Hadi juga menasihati kerajaan supaya tidak mempolitikkan isu tersebut sehingga merosakkan imej TH, selain tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin PH.

"Malah, pendirian Abdul Hadi dalam isu 1MDB juga jelas menolak segala unsur penyelewengan dan menggesa agar diadakan siasatan RCI secara bebas.

"Ini terkandung di dalam sebuah makalah yang menghimpunkan segala kenyataan, ceramah dan ucapan parlimen oleh Presiden Pas dalam isu 1MDB setebal 106 muka surat dan boleh difahami oleh mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan," katanya.

Katanya lagi, Abdul Hadi tidak pernah sekalipun berpuas hati dengan laporan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam TH dan 1MDB.

"Benar kita tidak boleh mudah berpuas hati, namun kesemuanya perlu disiasat, didakwa dan dibicara mengikut rule of law yang bebas, dihukum seadilnya serta diambil iktibar sebaiknya.

"Justeru adalah lebih baik sekiranya kita tidak mudah menuding jari kerana dikhuatiri umpama pembohong memekik perkataan pembohong di tengah orang yang mengejarnya di malam hari bagi memudahkan pembohong sebenar melepaskan diri," katanya.