Perak pertimbang naikkan denda pengusaha ternakan ayam

Abdul Yunus (duduk, tengah) pada sidang akhbar menjawab isu gangguan lalat.
Abdul Yunus (duduk, tengah) pada sidang akhbar menjawab isu gangguan lalat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mempertimbang untuk menaikkan kadar penalti kepada pengusaha ternakan ayam yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, ketika ini mereka yang didapati melanggar syarat lesen hanya dikenakan denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, oleh kerana masalah gangguan lalat berlarutan sekian lama, satu penambahbaikan dicadangkan dalam enakmen sedia ada antaranya menaikkan kadar denda kepada RM20,000.

"Perkara ini masih di peringkat cadangan dan kita juga ambil kira untuk menaikkan nilai kompaun kepada minimum RM3,000 berbanding RM300 sebelum ini.

"Ianya akan dapat dilaksanakan sebaik pindaan terhadap Enakmen Perladangan Unggas 2005 dan Peraturan-Peraturan Pengawalan Perladangan Unggas (Lesen) 2010 dikuatkuasakan," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Abdul Yunus berkata, sebagai langkah penyelesaian jangka panjang menangani pencemaran dan gangguan lalat, kerajaan negeri akan mewajibkan pertukaran reban ayam terbuka kepada sistem ladang tertutup sepenuhnya.

Menurutnya, berdasarkan rekod jabatan, daripada 412 perusahaan ladang ayam di negeri ini, hanya 45 peratus dijalankan secara tertutup.

Artikel Berkaitan:

"Selebihnya akan kita kuatkuasakan sebaik enakmen ditambah baik, ia memerlukan tempoh untuk dilaksanakan secara seratus peratus kerana turut melibatkan syarat tukar tanah dan sebagainya," katanya.

Terdahalu, media melaporkan rintihan penduduk di Segari, Manjung yang sudah tidak tahan dihantui masalah lalat sejak lebih 20 tahun.

Mengulas perkara itu, Abdul Yunus berkata, pihaknya memberi tempoh dua bulan kepada pengusaha ternakan ayam di kawasan itu untuk mematuhi langkah kawalan ditetapkan.

Antaranya arahan menggunakan racun lava secara semburan pada tinja dan rawatan dengan EM sebelum tinja ayam dijual atau dilupus.

"Pengambilan sampel lava akan dilakukan untuk pengesahan dan jika positif lalat rumah, maka tindakan penguatkuasaan dengan kompaun akan dikenakan," katanya.