Isyarat Tanjung Piai

Mujahid - Foto Bernama
Mujahid - Foto Bernama
A
A
A

DALAM pertarungan tiada belas kasihan, mimpi ngeri kekalahan bukan alasan menyalahkan musuh kerana pergelutan tabiatnya adalah untuk menewaskan pihak lawan.

Sebagai pesaing, kita tidak boleh membebel kenapa kita ditumpaskan lawan tetapi sebaliknya kita perlu salahkan diri sendiri kenapa kita tidak bangkit dari kekalahan kita. Tulisan ini adalah tentang kritikan diri.

Kekalahan PH dalam siri pergelutan demokrasi terakhir di PRK Tanjung Piai pahit untuk ditelan.

Ketika PH berusaha membuktikan kewibawaannya sebagai kerajaan baru, hantaran mesej Tanjung Piai umpama dentuman mercun di telinga pimpinannya agar bingkas bangun dan bertindak.

Barang diingatkan, kemenangan PH pasca 2018 adalah atas dua kekuatan iaitu dari semboyan reformasi dan semboyan anti-Najib.

Tapak tegar reformasi terbina kekuatannya sejak hujung 90-an lagi dari sebuah gerakan massa manakala kelompok tegar anti-Najib bermula 2016 dari akar umbi dalaman Umno sendiri.

Kemenangan bergaya PH melupakan seketika punca sejarah tentang dari mana tapak mereka memulakan gerakan.

Hanya kemudian setelah diuji dengan mandat, kepimpinan corak pemikiran kelompok ini semakin dilihat tidak menemui noktah persetujuan tentang agenda besar pemulihan, langkah-langkah bina semula negara dan naratif masa depan fasa Malaysia Baru.

Artikel Berkaitan:

Tiadanya titik pertemuan kukuh antara dua kekuatan ini menyebabkan naratif kerajaan PH senantiasa 'dirampas' oleh saki-baki suara-suara 'lama' yang bersumberkan isu kaum dan agama yang sempit.

Semua kekecewaan golongan tegar reformasi menguji kesetiaan mereka terhadap idealisme cita politik mereka. Mereka terpaksa menghantar isyarat. Isyarat mengingatkan soalan asas iaitu: "kenapa kami berikan mandat kepada kamu!"

Gerakan akar umbi UMNO yang tidak selesa dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ditemukan melalui Tun Mahathir Mohamad dan gerakan Selamatkan Negara.

Penubuhan PPBM atau Bersatu adalah untuk menghimpunkan gerakan dari akar umbi UMNO yang pada awalnya hanya mahu membuat perubahan dalaman.

Persetujuan parti Bersatu untuk bersama Pakatan Harapan yang telah pun diasaskan sebelumnya pada 22 September 2015 telah mencipta sejarah gerakan pembangkang terkuat sehingga mampu mengambil alih pemerintahan negara.

Ia semacam satu formula kemenangan antara gerakan massa di luar dan pemberontakan dalaman akar umbi UMNO dari dalam.

Dua kekuatan dalam PH ini perlu bersetuju pada naratif yang besar terhadap agenda memulihkan negara dan membina-semula harapan pengundi kepada mereka.

Kedua kekuatan ini tidak boleh lagi punya perspektif berbeza kerana pengundi akan mencari ruang mengirimkan isyarat mereka pada peluang yang ada termasuk mana-mana PRK.

Anggota Majlis Presiden perlu melontarkan pandangan mereka secara jujur dan terbuka demi menyelamatkan pengundi tegar masing-masing kerana ini adalah tapak kemenangan mereka.

Langkah-langkah yang perlu diambil secara praktikal ialah:

1. Uruskan proses ke arah pemulihan negara melalui pendekatan disiplin pengurusan perubahan untuk membina keyakinan pengundi tegar PH.

Mereka tidak menuntut perubahan drastik dan memahami berbagai rintangan tetapi mereka menagih keyakinan dari pimpinan PH di manakah komitmen PH? Apakah proses ke arah transformasi pemulihan berlaku? Mana landasan yang diambil ke arah perubahan? Hilangnya sokongan asas ini untuk PH adalah mimpi ngeri jika PH gagal meyakinkan mereka.

2. Tiga isu utama perlu dijadikan perbahasan umum bukan untuk melemahkan PH tetapi untuk dibuat rumusan secara konsensus nasional tentang apakah hala tuju negara yang hendak kita pacu bersama rentas kaum, kepartian dan fahaman.

Tiga isu utama tersebut ialah, reformasi perundangan negara yang menjaminkan rule of law dan memelihara kepentingan nasional.

Kedua, Hubungan antara kaum dan Islam sebagai Agama Persekutuan tentang apakah peranan kaum dan Islam dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia dalam era mencabar ini.

Apakah kita mahu membiarkan kebencian kaum dan agama terus berleluasa? Dan ketiga ialah ekonomi negara. Tentang bagaimana mengembalikan nama Malaysia dalam pencapaian ekonomi rantau yang disegani. Dalam konsensus yang diharapkan tercapai, terserlah naratif Malaysia Baru dalam bentuk perancangan tindakan yang akan membentuk jalan ke hadapan negara.

3. Kesatuan komponen parti dalam PH adalah senarai keutamaan tertinggi yang perlu digerakkan bersama. PH tidak ada ruang untuk individu yang berkepentingan sendiri ataupun yang membentuk agenda kekelompokan.

Pelan penggantian kepimpinan perlu telus dan jelas berpandukan persetujuan bersama kepimpinan. Menyalahkan antara parti tentang kelemahan PH bukan jalan penyelesaian, kesemua parti perlu ambil tanggungjawab secara bersama tentang prestasi PH dan cuba memperbaikinya dengan agenda yang jelas.

4. Akhirnya ialah kejayaan kabinet membentuk dasar-dasar yang menyokong naratif Malaysia Baru.

Kita akan dilihat gagal apabila setiap kementerian dilihat hanya menjalankan tugas rutin yang diwarisi sebelumnya.

Lebih buruk jika menteri-menteri mentadbir tanpa visi dan misi baru menyebabkan pegawai berleluasa menentukan hala tuju kementerian tanpa panduan.

Masa berlalu dengan pantas, jika isyarat Tanjung Piai kita gagal pintas, pasti kita akan dicantas dari bawah sehingga ke atas.

Penuhi terlebih dahulu jawapan kenapa PH diberi mandat. Masih ada waktu untuk PH bangkit dengan tenaga dan kudrat. Cari tempo kedua-dua kekuatan yang membentuk PH dengan mengambil langkah-langkah yang disarankan di atas.

Kita harus membalas isyarat kepada pengundi kita dengan memberitahu bahawa "kami faham dan sedang bertindak".

*Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Naib Presiden Amanah