Tiada cadangan wujudkan sarjana, kedoktoran di IPG

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang mewujudkan pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran di mana-mana Institut Pendidikan Guru (IPG) di negara ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, kementerian mendapati tiada keperluan berbuat demikian memandangkan institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) sedia ada memadai untuk menyediakan tempat bagi guru yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat berkenaan.

“Peranan ini telah dimainkan oleh IPTA dan IPTS yang sedia ada dan kita maklum guru-guru yang berminat melanjutkan pengajian boleh berbuat demikian sama ada di dalam atau luar negara. Jadi tiada keperluan mendesak untuk tujuan itu,” katanya pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai perkara itu.

Menjawab soalan asal Noorita Sual (PH-Tenom), Nie Ching berkata, kementerian kini melaksanakan penyusunan semula pensyarah berdasarkan bidang kepakaran dan keperluan di setiap kampus IPG.

Beliau turut berkata, tiada penutupan IPG dilakukan kementerian setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: