X

Kindly register in order to view this article
!

Konvensyen PKR tetap berlangsung

Saifuddin Nasution
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan konvensyen parti peringkat negeri Sarawak yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini di Miri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan setiap keputusan untuk mengadakan konvensyen negeri telah disusun dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik PKR.

"Semua negeri telah diberikan jadual (konvensyen) dan pelaksanaannya mengikut jadual. Sekiranya ada pandangan sebaliknya maka saluran yang betul adalah untuk mencadangkan perkara itu kepada MPP dan Biro Politik.

"Barulah satu keputusan itu (boleh) dibuat. Jadi, sehingga proses itu dilakukan kita akan meneruskan (konvensyen negeri Sarawak) pada 23 November ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan semula sebuah pusat beli belah Cheras hari ini.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Baru Bian dilaporkan berkata, pembatalan Konvensyen PKR negeri pada Sabtu ini di Miri merupakan keputusan majoriti melibatkan 32 daripada 46 ahli MPN PKR negeri.

Baru turut dilaporkan berkata, keputusan ibu pejabat PKR untuk meneruskan acara itu mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN PKR Sarawak.

Mengulas kenyataan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Hilman Idham mengenai keputusan AMK supaya Kongres AMK dan Wanita PKR di Melaka pada 5 Disember ini tetap dirasmikan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Saifuddin Nasution berkata, keputusan tentang parti kena buat (bincang) dalam mesyuarat parti.

"Tidak boleh buat dalam perjumpaan faction kerana ini bukan cara parti bergerak. Platform sebenar adalah melalui mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR," katanya.

Muhammad Hilman dilaporkan mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat MPP AMK yang berlangsung di Shah Alam semalam, dan menurutnya keputusan itu dibuat berdasarkan tradisi dan konvensyen yang diamalkan parti. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus