Bayi mati dicekik, ibu ditikam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bayi perempuan meninggal dunia dipercayai dicekik manakala ibunya kritikal selepas dipercayai ditikam dengan pemutar skru dalam kejadian di sebuah apartmen di Batu Caves di sini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi pada 14 November itu, bayi berusia tiga minggu bersama ibunya berusia 42 tahun dipercayai diserang seorang wanita yang mendakwa ibu berkenaan mempunyai hubungan dengan suaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, bayi itu dilapor tidak sedarkan diri ketika ditemui manakala ibunya cedera parah di kepala.

"Kedua-duanya dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan bayi itu disahkan meninggal dunia pada 4.30 pagi, Selasa (19 November).

"Ibunya yang cedera di bahagian kepala pula masih lagi koma," katanya kepada pemberita hari ini berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Fadzil berkata, sepasang suami isteri berusia 27 dan 25 tahun bersama pembantu wanita berusia 19 tahun ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan dan mereka direman sehingga Ahad untuk siasatan lanjut.

"Polis turut merampas pemutar skru yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit bertindak menyerang ibu berkenaan kerana cemburu. - Bernama

Artikel Berkaitan: