Kontrak kerajaan perlu ikut kelayakan

Ahmad Faizal menerima cenderahati daripada pihak penganjur sempena program tersebut.
Ahmad Faizal menerima cenderahati daripada pihak penganjur sempena program tersebut.
A
A
A

IPOH - Kontrak kerajaan tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada individu mahupun syarikat yang tidak berkelayakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan perlu memutuskan untuk memberikan sebarang projek atau kontrak kepada mereka yang benar-benar boleh melaksanakan kerja ditawarkan.

Beliau berkata, pihaknya amat bersetuju dengan keputusan perdana menteri untuk memberikan kontrak kerajaan kepada mereka yang berkelayakan kerana sebelum ini PH menentang sebarang pemberian kontrak tanpa mengikut kriteria ditetapkan.

"Tindakan untuk beri kepada sesiapa sahaja sewenang-wenangnya ini merupakan perkara kami tentang dulu. Amat tidak wajar dilakukan oleh kami yang menentang dulu.

"Jadi saya tidak mahu membidas apa yang dikatakan Tan Sri Abdul Rashid yang amat berjasa kepada negara tetapi saya fikir beliau ada pandangan tersendiri," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Jom Sihat bersama Ahli Parlimen Tambun di SJKC Chong Hwa Kanthan Baru, di sini.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mempertahankan kenyataan beliau bahawa ketua-ketua bahagian Bersatu perlu diberikan kontrak kerajaan untuk kelangsungan parti tersebut kerana kebanyakan Bahagian Bersatu tidak mempunyai wang.

Ahmad Faizal berkata, ketiadaan wang di peringkat bahagian parti tidak harus dijadikan alasan untuk mendapatkan kontrak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika menjadi pembangkang tidak timbul soal peruntukan kewangan sebaliknya kerja-kerja parti dibuat seperti biasa sehingga berjaya mencapai kemenangan.

"Kalau dulu kami sebagai pembangkang pun, kami berjalan dengan apa yang ada demi rakyat dan kerana ALLAH sehingga kita berjaya tubuh kerajaan.

"Tapi apabila kita berjaya tubuhkan kerajaan, kita tak yakin pula rezeki di tangan ALLAH bukan rezeki di tangan kerajaan," katanya.