Harungi cabaran demi foto monyet

Peter mengambil inisiatif mempamerkan ‘hasil buruannya’ melalui Project Monyet di Think City, Kuala Lumpur bermula pada 16 November lalu sehingga 28 November ini. - Foto Bernama
Peter mengambil inisiatif mempamerkan ‘hasil buruannya’ melalui Project Monyet di Think City, Kuala Lumpur bermula pada 16 November lalu sehingga 28 November ini. - Foto Bernama
A
A
A

TERPAKSA berkhemah selama tujuh malam di hutan tebal dan berjalan selama lapan jam semata-mata untuk mendapatkan gambar spesies monyet dan kera yang menarik serta sempurna adalah antara cabaran yang ditempuhi seorang jurugambar.

Selain perlu menempuhi kawasan berbukit curam dan licin, kesabaran jurugambar juga diuji apabila dia perlu menantikan kemunculan haiwan tersebut berjam-jam lamanya dalam keadaan sunyi.

Jurugambar sambilan, Peter Ong, 43, berkata, usahanya itu tidak sia-sia apabila berjaya merakamkan foto sebanyak 14 daripada sekurang-kurangnya 25 spesies monyet di Malaysia yang turut membawanya menerokai hutan di seluruh negara.

“Di hutan, kita tidak boleh buat bising, hanya guna bahasa isyarat jika mahu berkomunikasi dengan teman kita.

“Bila monyet dengar bunyi dan hidu bau manusia, monyet tersebut akan lari,” kata anak jati Pulau Pinang itu kepada Bernama sempena pameran foto Project Monyet di sini baru-baru ini.

Demi minatnya, Peter sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan berkampung bersama penduduk tempatan yang akan turut menemaninya masuk ke hutan termasuk di Kampung Long Pasia, Sipitang, Sabah.

Foto spesies monyet yang berjaya diabadikan termasuklah Maroon Surili, Silvery Lutung, Lar Gibbon, East Bornean Grey Gibbon, Southern Pig-Tailed Macaque, Proboscis Monkey dan Orang Utan yang diambil di hutan di seluruh negara seperti di Tabin, Lembah Danum, Maliau Basin di Sabah, Bakoh di Sarawak, Fraser Hill, Pahang dan Kuala Selangor, Selangor.

Walaupun belum sempurna, Peter mengambil inisiatif mempamerkan ‘hasil buruannya’ melalui Project Monyet bagi memupuk kesedaran kepada orang ramai bahawa spesies itu semakin berkurangan akibat aktiviti manusia.

Artikel Berkaitan:

“Sekurang-kurangnya saya dapat melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa haiwan tersebut perlu dipelihara dan dilindungi,” jelasnya.

Project Monyet dibuka kepada orang ramai tanpa bayaran dari 16 hingga 28 November di Think City, Kuala Lumpur dan akan dilancarkan oleh ahli primatologi dan antropologi, Dr Jane Goodall pada 22 November ini. - Bernama