ITS lakar kejayaan tersendiri

Koji Nakamura (duduk, tiga dari kiri) bersama para graduan ITS yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen ke-4 ITS di Subang Jaya kelmarin.
Koji Nakamura (duduk, tiga dari kiri) bersama para graduan ITS yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen ke-4 ITS di Subang Jaya kelmarin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Pusat latihan praktikal dengan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Sekolah Teknikal Isuzu (ITS) melakar kejayaan tersendiri apabila seramai tujuh lagi graduan tenaga kerja mahir dilahirkan pada Istiadat Konvokesyen ITS ke-4 yang berlangsung di sini kelmarin.

Program latihan berkenaan adalah usaha sama antara Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Syarikat Automotive Corporation Malaysia Sdn Bhd (ACM).

Ketua Pegawai Eksekutif IMSB, Koji Nakamura berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian ITS dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang selari dengan keperluan industri berikutan peningkatan pengedar Isuzu di Malaysia.

Menurutnya, ITS sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik buat pelanggan.

Koji Nakamura (kiri) menyampaikan anugerah Pelajar Terbaik kepada Andrew pada Istiadat Konvokesyen ke-4 ITS di Subang Jaya kelmarin.
Koji Nakamura (kiri) menyampaikan anugerah Pelajar Terbaik kepada Andrew pada Istiadat Konvokesyen ke-4 ITS di Subang Jaya kelmarin.

“Lulusan ITS mendapat permintaan yang tinggi kerana mereka mempunyai pendedahan kepada teknologi terkini dan dilatih untuk memenuhi keperluan industri yang sangat penting bagi entiti perniagaan untuk terus berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

“Semua lulusan ITS kini adalah tenaga kerja mahir yang turut akan menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

ITS yang dilancarkan pada April 2016 menawarkan program latihan selama lapan bulan dan graduan akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia-Tahap II (SKM II) dalam Perkhidmatan dan Penyelenggaraan Kenderaan Komersial.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh empat tahun penubuhannya, seramai 21 graduan berjaya dilahirkan oleh ITS.

Sementara itu, pada Istiadat Konvokesyen ITS ke-4, Andrew Harrison Augustine, 25, dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik.

Andrew berkata, dia amat berterima kasih atas peluang yang diberikan kepadanya bagi menjalani latihan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mahir.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat penting untuk generasi muda meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang baik pulih dan selenggara kenderaan,” katanya.