Penduduk tukar sampah kepada beras

Syed Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan beras kepada penduduk sempena program Tukar Sampah Kepada Beras Ahad lalu.
A
A

TANGKAK - Sempena ulang tahun ke-13, Hijrah Water Sdn Bhd melaksanakan tanggungjawab sosial korporat menerusi program Tukar Sampah Kepada Beras bersama komuniti di sekitar Ledang di sini Ahad lalu.

Program melibatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ledang itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Sebanyak 2 kilogram (kg) beras diberikan kepada orang ramai untuk digantikan dengan sekurang-kurangnya 1kg sampah kering sebagai usaha untuk menangani masalah sampah dan sisa buangan untuk dilupuskan atau dikitar semula di daerah Ledang.

Syed Ibrahim berkata, sebanyak 1,000kg beras diperuntukkan oleh Hijrah Water Sdn Bhd untuk ditukarkan dengan sekurang-kurangnya setengah tan sampah daripada golongan sasar.

“Kita mahu warga Ledang bersama-sama peduli menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya di sekitar kediaman dan dijadikan amalan atau tabiat di semua peringkat usia sejajar dengan tuntutan agama yang diriwayatkan HR Muslim, kebersihan itu sebahagian daripada cabang keimanan,” katanya ketika merasmikan program itu di sini Ahad lalu.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Hijrah Water Sdn Bhd, Mohamad M Said dan Pegawai Daerah Tangkak, Shafiei Ahamad.

Program Tukar Sampah Kepada Beras mendapat sambutan menggalakkan daripada KRT Tangkak dan Ledang apabila lebih 200 penduduk membawa sampah kering untuk ditukarkan.