Nampaknya kerajaan PH sudah panik, kata Najib

Paparan skrin perkongsian Najib di laman Facebooknya, hari ini.
Paparan skrin perkongsian Najib di laman Facebooknya, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan PH kini dalam keadaan panik susulan keadaan ekonomi negara yang menunjukkan trend penurunan selepas PRU14.

Dalam perkongsian terbaharu di laman sosial Facebooknya, Najib turut memuat naik paparan skrin laporan berita kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming yang meminta rakyat tidak panik dengan keadaan ekonomi semasa negara.

"Nampaknya kerajaan PH sudah panik mengenai keadaan ekonomi yang jelas menurun secara tiba-tiba selepas PRU14," tulis Najib.

"Tetapi Timbalan Menteri DAP seru rakyat tidak panik dan memberi jaminan eknomi tidak akan mengalami kemelesetan.

"Ini ekoran dari pelbagai berita, data, unjuran dan analisa ekonomi yang negatif mengenai ekonomi Malaysia baru-baru ini," katanya.

Najib kemudian menasihati kerajaan PH mengatasi permasalah itu dengan menghentikan kenyataan-kenyataan bermotif politik.

"Sebagai permulaan, kerajaan PH perlu menghentikan penipuan bermotif politik mereka bahawa hutang kerajaan lebih dari RM1 trilion kerana ini telah menyebabkan banyak pelabur lari dari Malaysia," tulis Najib.

Bekas Menteri Kewangan itu sebelum ini berkata, walaupun propaganda ekonomi Malaysia hancur di bawah pemerintahan kerajaan BN sering dimainkan, namun fakta dan data menunjukkan sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Najib berkata, indeks saham menunjukkan trend peningkatan dari 800 mata pada 2008 hingga mencatat indeks paling tinggi dalam sejarah, iaitu 1,895.18 mata sebelum PRU14.

Malah katanya, ia juga adalah tempoh lonjakan Bursa Malaysia paling lama di dalam sejarah Malaysia.

"Ramai yang tidak tahu bahawa Bursa Malaysia merupakan pasaran saham dengan tempoh lonjakan saham paling lama di dunia iaitu 'world's longest running bull market'.

"Selain prestasi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baik berbanding negara jiran dan negara-negara 'harimau' Asia yang saya kongsikan tempoh hari, prestasi Bursa Malaysia ini juga merupakan satu lagi bukti bahawa ekonomi negara dijaga baik semasa di bawah kerajaan BN dahulu," katanya menerusi Facebook beliau beberapa hari lalu.

Najib turut memuat naik graf lonjakan saham bermula 2008 hingga tahun lalu yang menunjukkan trend kenaikan.

Berdasarkan data itu, Najib menyelar kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tiada asas kukuh menyatakan ekonomi Malaysia hancur di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

"Saya nak tanya mereka yang sebelum ini pernah percaya manifesto bukan Kitab itu: 'Jika ekonomi negara hancur, bagaimana pula boleh berlakunya prestasi Bursa Malaysia dan pertumbuhan ekonomi yang baik seperti dilapor oleh Bank Dunia?'," soalnya.