Britain guna memerang tangani banjir

Memerang di kawasan tadahan air sungai akan membantu menjadikan sesebuah landskap lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan cuaca ekstrem.
Memerang di kawasan tadahan air sungai akan membantu menjadikan sesebuah landskap lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan cuaca ekstrem.
A
A
A

LONDON - Spesies memerang akan diperkenalkan semula di dua bahagian di Britain sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengawal banjir.

Menurut badan amal bebas, National Trust yang menguruskan harta dan kawasan bersejarah, pihaknya merancang untuk melepaskan memerang Eurasia di dua lokasi di selatan England awal tahun depan.

"Empangan yang dibuat oleh memerang boleh menadah air pada musim kering, membantu mengurangkan hiliran banjir kilat, mengurangkan hakisan dan meningkatkan kualiti air dengan menahan lumpur," jelas pengurus projek, Ben Eardley.

Memerang digambarkan sebagai jurutera alam di mana hasil kerjanya dapat membantu mewujudkan habitat tanah lembab untuk menyokong pelbagai spesies daripada serangga ke unggas buruan.

Eardley berkata, memerang di kawasan tadahan air sungai akan membantu menjadikan sesebuah landskap lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan cuaca ekstrem.

Difahamkan, Eardley akan mengawasi pengenalan semula sepasang memerang di Holnicote berhampiran Taman Negara Exmoor di barat daya England.

Sepasang lagi memerang akan dilepaskan di Black Down Estate di pinggir South Downs dekat pantai selatan Inggeris.

Kesemua haiwan itu akan dilepaskan di kawasan hutan berpagar dan pakar akan memantau perubahan habitat yang dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

National Trust berhasrat untuk memulihkan 25,000 hektar habitat hidupan liar menjelang tahun 2025 di tengah-tengah kebimbangan jumlah spesies itu yang semakin menurun sejak 1970.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa bahagian di utara England dilanda amaran banjir dengan ada di antaranya mengalami musim luruh paling basah pernah direkodkan. - AFP