AMK pertahan Dr Mahathir

Hilman (tiga dari kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat MPP AMK Malaysia bersama pimpinan AMK Cabang-Cabang seluruh Malaysia bertempat di Rumah Pemuda di sini malam tadi.
Hilman (tiga dari kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat MPP AMK Malaysia bersama pimpinan AMK Cabang-Cabang seluruh Malaysia bertempat di Rumah Pemuda di sini malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) bertegas mempertahankan kestabilan kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Hilman Idham berkata, ini termasuk dari sebarang usaha atau langkah yang bertujuan mengganggu gugat kedudukan dan peranan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Melalui pertemuan yang diadakan pada malam ini bersama pimpinan di peringkat cabang seluruh Malaysia, kami bermuafakat untuk mempertahankan kepimpinan Dr Mahathir.

"Pendirian ini merupakan antara pendirian yang disepakati melalui pertemuan yang diadakan malam ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat MPP AMK Malaysia bersama pimpinan AMK cabang-cabang seluruh Malaysia bertempat di Rumah Pemuda di sini malam tadi.

Katanya, malam ini beliau telah mempengerusikan satu mesyuarat AMK untuk mendengar pendirian rakan-rakan baik di peringkat nasional mahupun cabang.

"Saya juga menerangkan kepada kepimpinan soal krisis yang berlaku dalam isu perasmian kongres nasional Angkatan Muda Keadilan, kedua saya juga memberikan taklimat kepada semua pimpinan terhadap isu konvensyen negeri Sarawak.

"Ini juga termasuk pendirian yang diambil oleh Majlis Pimpinan Negeri Sarawak dan yang ketiga saya juga memberikan penjelasan kepada pimpinan AMK tentang isu yang dibincangkan dan dibahaskan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 22 Ahli Parlimen BN dan juga ahli-ahli PKR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setelah mendengar pandangan majoriti pimpinan AMK Pusat dan cabang daripada seluruh negara, beberapa pendirian yang diambil pada malam ini.

"Antaranya perasmian Kongres Nasional AMK Pusat akan diteruskan dengan perasmian oleh Timbalan Presiden PKR pada 4 Disember 2019 di MiTC Melaka bersama-sama dengan sayap wanita PKR.

"Seluruh pergerakan dan perwakilan AMK diperingkat nasional, cabang dan ranting akan dikerahkan untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen PKR," katanya.

Tambahnya, AMK juga bermuafakat dan bersolidariti dengan kepimpinan MPN Sarawak.

"MPN Sarawak tuntas mempertahankan idealisma dan prinsip perjuangan PKR yang luhur, demokrasi autonomi dan kebebasan bersuara yang mana harus dipertahankan oleh setiap kepimpinan dan anggota PKR.

"Saya harap setiap pimpinan AMK yang hadir kembali ke cabang masing-masing dan kita akan menggerakkan kekuatan kita untuk memastikan apa yang kita rancang dapat dilaksanakan dalam kongres nasional pada tahun ini," katanya.

Terdahulu, pertemuan dan mesyuarat diadakan di Rumah Pemuda bersama 132 pimpinan AMK cabang di seluruh Malaysia.