Perlukah majlis graduasi anak-anak tadika diadakan?

Perkongsian seorang individu seorang bapa mengalami masalah kewangan untuk menunaikan permintaan anaknya mengambil gambar ketika graduasi mengundang kesedihan warganet.
A
A

BARU-BARU ini, tular gambar seorang bapa terpaksa mengajak anaknya untuk pulang ke rumah selepas tidak mampu membayar kos bergambar konvokesyen sekolah tadika yang berharga RM20.

Selepas selesai acara pemberian sijil di pentas, ibu bapa yang ingin abadikan gambar anak akan ke tempat yang disediakan untuk mengambil anak-anak bersama skrol mereka, tetapi si bapa tadi tidak mampu dan si anak terus merintih mahu bergambar.

Lebih memilukan lelaki tersebut yang bekerja sebagai buruh kimpalan sanggup meminjam motosikal majikannya untuk menghadiri majlis graduasi anaknya.

Rupanya rintihan si anak tadi didengari salah seorang bapa kanak-kanak lain dan segera menawar diri untuk membayar kos gambar tadi.

Perkongsian kisah itu segera mengundang kesedihan warganet yang rata-rata amat bersimpati dengan nasib dua beranak itu. Hasil pemerhatian Merak Jalanan terhadap komen-komen itu mendapati ramai yang menyarankan sekolah tadika tidak lagi menganjurkan majlis-majlis seumpama itu.

Bukan apa, Merak Jalanan pun pernah bergambar dalam majlis sama ketika tadika kira-kira 30 tahun lalu. Masa itu, kita sebagai kanak-kanak memang seronok kalau dapat menjalankan aktiviti-aktiviti seumpama itu tanpa mengetahui perit jerih yang terpaksa ibu bapa harungi.

Satu lagi, niat pihak sekolah mengadakan majlis seumpama itu sebagai motivasi dan dorongan kepada anak-anak untuk membudayakan ilmu.

Pada pendapat Merak Jalanan, bergambar graduasi bukan tekanan ibu bapa sekarang tetapi kesulitan hidup yang terlalu menekan inilah seperti menjerut golongan dewasa. Mungkin sesetengah orang nilai RM20 itu kecil tetapi masih ramai orang di luar sana berasakan nilai ringgit itu masih besar kerana mereka perlu fikirkan keperluan lain yang perlu diutamakan.

Mungkin pihak sekolah harus fikirkan alternatif supaya anak-anak kecil daripada keluarga kurang berkemampuan tidak terlepas merakam kenangan manis itu.