X

Kindly register in order to view this article
!

Bersangka baik dengan ALLAH

A
A

PERNAHKAH anda apabila diuji akan terlintas di hati pertanyaan mengapa ALLAH takdirkan begini kepada anda? Apabila ditimpa ujian yang sangat berat atau bertalu-talu, mampukah anda bersangka baik dengan ALLAH? Yang pasti adalah kita tidak akan mampu menahan air mata kita daripada terus mengalir apabila kita diuji, bukan? Ayat itu menyatakan bahawa hidup kita di dunia ini penuh dengan ujian dan dugaan. Tiada sesiapapun yang terkecuali. ALLAH tegaskan, Dia tidak akan biarkan kita tanpa ujian kerana ujian itulah penentu kepada tahap iman seseorang.

Dalam musafir saya dan keluarga ke Paris, Perancis baru-baru ini, banyak ujian yang ALLAH tentukan untuk kami.

Dalam tempoh sehari semalam sahaja, kami ada masa untuk melawat tempat-tempat menarik di Paris. Antara ujian terbesar ialah kehabisan masa di lapangan terbang kerana mencari pintu untuk menaiki bas atau kereta api ke Eiffel Tower dan tersasar dari hentian yang sepatutnya turun.

ALLAH takdirkan pada hari tersebut, ada demonstrasi di kawasan hentian kereta api yang kami sepatutnya turun. Oleh itu, kami tidak dapat turun di hentian tersebut. Saya memujuk dengan mengatakan kepada keluarga saya agar bersangka baik dengan ALLAH. Pasti ada hikmahnya.

Kami tiada pilihan kecuali turun di stesen berikutnya yang memasuki zon lain dan sudah tentu tiket kami tidak sah untuk ke situ dan tidak akan dapat melepasi jalan keluar yang kami mesti masukkan tiket dahulu.

Kami tawakal sahaja dan ALLAH takdirkan kami dapat keluar juga dari stesen tersebut melalui jalan keluar yang ALLAH tiba-tiba tunjukkan dalam situasi panik juga sebenarnya.

Bila keluar kami nampak kereta polis agak banyak di satu kawasan. Berdebar juga sebab dalam kepala teringat demonstrasi. Kami melihat bangunan kawasan banyak polis tersebut dan lega bila membaca nama bangunan tersebut. Ia bangunan pejabat polis rupanya kerana itu hentian tersebut dinamakan La Dèfense.

Kami berjalan dalam kesejukan dan ternampak satu bangunan macam pusat membeli-belah.

Kami masuk dan berlegar sebentar di dalam untuk mencari kafe yang boleh dapatkan air panas untuk membolehkan kami makan bekalan kami.

Alhamdulillah ternampak satu kafe. Pemilik kafe memaklumkan kami boleh duduk di dalamnya dan makan apa sahaja yang ada dengan bayaran 5 Euro setiap orang untuk setiap jam.

Kami setuju untuk duduk di situ dalam tempoh sejam sebelum bergerak ke tempat yang kami hendak tuju. ALLAH takdirkan ada satu bilik kosong untuk keluarga dan kami memilih untuk duduk di situ.

Sangat benar apa yang saya sebut kepada ahli keluarga saya bahawa pasti ada hikmah ditakdirkan kami tersasar ke situ.

Rupanya ALLAH aturkan begitu kerana mahu kami dapat satu tempat yang sesuai untuk tunaikan solat dengan selesa.

Apa jua ujian dan takdir yang ditentukan, kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan ALLAH. Dalam surah al-Baqarah, ayat 216 bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."Terbaik

Satu lagi kisah yang boleh kita ambil iktibar ialah kisah seorang sahabat Rasulullah SAW.

Ada seorang sahabat yang sangat miskin tetapi dia selalu solat berjemaah dengan Rasulullah SAW. Seusai solat, dia tergesa-gesa pulang ke rumah.

Baginda bertanya kepadanya kenapa dia tergesa-gesa. Lalu sahabat tersebut memaklumkan dia miskin dan berkongsi pakaian solat dengan isterinya.

Rumahnya jauh, jika terlambat pulang isterinya terlepas waktu solat.

Beliau memohon agar Rasulullah SAW mendoakannya jadi kaya agar dia dapat meluangkan masa untuk mendengar kelas pengajian Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW mendoakannya dan sahabat itu menjadi senang. Namun, dia semakin sibuk dengan urusan dan semakin tiada masa untuk berjemaah dengan Rasulullah di masjid.

Kisah di atas menunjukkan tidak semestinya apa yang kita hendak itu lebih baik untuk kita.

Yakinlah bahawa segala yang ALLAH tentukan kepada kita adalah terbaik.

Akhir kalam, yakinlah perancangan ALLAH itu lebih baik untuk kita walau sehebat mana sekalipun perancangan kita di dunia ini.

Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!