Dua maut, dua cedera parah

Keadaan kereta dipandu dan dinaiki mangsa melanggar sebatang pokok. - Foto Ihsan BOMBA
Keadaan kereta dipandu dan dinaiki mangsa melanggar sebatang pokok. - Foto Ihsan BOMBA
A
A
A

MANJUNG - Dua maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di KM55 Ipoh-Lumut berhampiran Batu 19, Kampung Jering, Ayer Tawar, di sini pagi tadi.

Mangsa Ong Eng Hooi, 54 dan Tan Kah Sim, 52, yang juga merupakan ipar maut dilokasi kejadian selepas tersepit di bahagian pemandu dan penumpang belakang sebelah kanan kereta jenis Honda Accord dalam kejadian sekitar jam 6.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan, Chong Boo Khim berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa menghala ke arah Pantai Remis dari Ipoh bersama tiga penumpang lain.

“Setibanya dilokasi kejadian kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan dan menyebabkan pemandu dan seorang penumpang belakang di sebelah kanan maut di lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah dan kematian mereka disahkan oleh pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Ayer Tawar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Boo Khim dua lagi penumpang dibahagian hadapan dan belakang mengalami kecederaan patah serta luka dikejarkan ke Hospital Seri Manjung menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

“Penumpang hadapan seorang remaja lelaki berusia 24 tahun dan penumpang belakang wanita berusia 46 tahun patah kaki kanan serta cedera ditangan dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Bedah siasat yang dijalankan terhadap kedua-dua mangsa pada jam 10.30 pagi tadi mendapati punca kematian adalah ‘Multiple Injury Consistent With Road Traffic Crash’ dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, Suhaimi Nijar berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.31 terdapat sebuah kereta jenis Honda Accord terlibat dalam kemalangan dan terdapat mangsa tersepit.

"Dua mangsa yang cedera iaitu seorang lelaki dan wanita telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital, manakala dua lagi yang maut tersepit.

"Anggota kemudiannya menggunakan peralatan penyelamat 'hydraulik rescue cutter' untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sehingga selesai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.