ECER tarik pelaburan RM7 bilion, lebih 5,700 pekerjaan diwujudkan

Mohamed Azmin bersama pemimpin negeri yang terlibat dalam ECER. - Foto Twitter Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin bersama pemimpin negeri yang terlibat dalam ECER. - Foto Twitter Mohamed Azmin Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan substantif berjumlah RM7 bilion daripada 36 projek baharu tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, meskipun berdepan cabaran faktor luaran, namun lebih 5,700 peluang pekerjaan diwujudkan melalui pelaburan tersebut.

Menurutnya, ia sekali gus mampu merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

"ECER menyaksikan kejayaan pelaksanaan beberapa projek dan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini pagi tadi.

Mohamed Azmin berkata, ECERDC mempunyai peranan penting dalam membuka peluang pertumbuhan Pantai Timur di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 100,000 penduduk tempatan menyertai program pembangunan modal insan ECERDC.

"Hampir 95 peratus daripadanya adalah daripada komuniti B40," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelan Induk ECER 2.0 dilancarkan Dr Mahathir pada Jun lalu dengan menyasarkan nilai pelaburan swasta baharu sebanyak RM70 bilion, 120,000 peluang pekerjaan serta 60,000 peluang keusahawanan untuk rakyat.