PCOM gesa tamatkan segera pencabulan terhadap rakyat Palestin

PCOM menggesa supaya ditamatkan segera pencabulan undang-undang terhadap rakyat Palestin.
PCOM menggesa supaya ditamatkan segera pencabulan undang-undang terhadap rakyat Palestin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) hari ini menggesa supaya ditamatkan segera pencabulan undang-undang terhadap rakyat Palestin.

Pertubuhan itu berkata, pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada Isnin lalu menyatakan perumahan Israel di wilayah Palestin yang diduduki bukan penempatan haram, melanggar undang-undang sejagat.

"Pengumuman itu mempamerkan kepada dunia bahawa Amerika dan Israel berada di atas undang-undang dan Israel boleh terus mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia Palestin dengan sokongan penuh AS.

"Penempatan Israel itu jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata PCOM menerusi kenyataan.

Tambah kenyataan itu lagi, penempatan haram tersebut dianggap sebagai jenayah perang seperti yang tertakluk dalam Statut Rome.

"Ini adalah bukti kukuh pentadbiran Trump tidak mahu berganjak atau bertolak ansur.

"Undang-undang antarabangsa amat jelas menyatakan pembinaan dan menyelenggara penempatan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, melanggar undang-undang antarabangsa dan dianggap jenayah perang," katanya.

Sejak mengambil alih kuasa, pentadbiran Trump menyokong kepentingan Israel dengan mengorbankan warga Palestin, bermula dengan tindakan sepihak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, memotong dana Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan mengiktiraf hak Israel ke atas Bukit Golan yang diduduki, kata PCOM.

Artikel Berkaitan:

Pompeo pada Isnin mengumumkan pentadbiran Amerika tidak lagi terikat dengan pandangan perundangan Jabatan Negara AS 1978 yang menganggap penempatan Israel sebagai 'tidak sejajar dengan undang-undang antarabangsa'.

Pengumuman itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. - Bernama