Posmen maut angkara lori mengundur

Keadaan motosikal milik Pos Malaysia ditunggang mangsa yang tercampak di bahu jalan di lokasi kejadian. - Gambar ihsan pembaca
Keadaan motosikal milik Pos Malaysia ditunggang mangsa yang tercampak di bahu jalan di lokasi kejadian. - Gambar ihsan pembaca
A
A
A

KEMAMAN - Seorang posmen maut selepas terlibat kemalangan dengan lori muatan besi di Kilometer 6.7, Kerteh-Kampung Chabang berhampiran terowong Kampung Chabang, di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Hairi Abdullah, 41, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss milik Pos Malaysia maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala pemandu lori jenis Isuzu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kampung Chabang, di sini, menghala ke Kerteh manakala lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dari Kemasik menuju Kampung Chabang.

Lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang posmen tengah hari tadi. - Gambar ihsan pembaca
Lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang posmen tengah hari tadi. - Gambar ihsan pembaca

"Semasa tiba di lokasi, lori yang penuh dengan muatan besi itu dikatakan sedang mengundur secara melintang dari bahu jalan dan masuk ke laluan motosikal.

"Motosikal dipandu mangsa dikatakan tidak sempat mengelak sebelum merempuh muatan besi di belakang lori tersebut dan terbabas ke sebelah kiri jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, mangsa yang beralamat dari Kampung Telaga Papan, Kerteh, di sini parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan: