Filipina haramkan rokok elektronik

Gambar hiasan
A
A

MANILA - Filipina akan menguatkuasakan larangan mengguna dan mengimport rokok elektronik serta menahan sesiapa sahaja yang menggunakan peranti itu.

"Saya akan haramkannya. Anda tahu kenapa? Kerana ia adalah toksik. Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil langkah itu bagi melindungi kesihatan dan kepentingan awam," tegas Presiden Rodrigo Duterte yang turut melarang menghisap rokok di khalayak ramai.

Beliau turut mengarahkan penguat kuasa undang-undang untuk menahan pengguna rokok elektronik yang menggunakannya di tempat awam

Pengumuman itu dikeluarkan Duterte ketika diminta mengesahkan kes pertama penyakit berkaitan paru-paru akibat rokok elektronik di negara itu.

Sebelum ini, Duterte, 74, merupakan seorang perokok tegar, namun beliau berhenti merokok apabila disahkan menghidap penyakit Buerger yang boleh menyebabkan saluran darah tersumbat.

"Walaupun mereka kata ia elektronik tetapi itu semua mengarut. Lebih baik hentikannya. Saya akan arahkan anda ditahan meskipun menggunakannya di dalam bilik. Ia seperti rokok, membahayakan orang lain," katanya. - Agensi