Baru dakwa terdapat gerakan mahu jatuhkan beliau

BARU BIAN
BARU BIAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri MPN Parti Keadilan Rakyat (MPN PKR) Sarawak, Baru Bian berkata, terdapat gerakan menjatuhkannya dan telah dirancang untuk dilaksana pada Konvensyen PKR negeri.

“Saya percaya terdapat pihak yang memulakan usaha mengumpul sokongan ketua cabang parti itu di Sarawak bagi memperkecil-kecilkan kemampuan saya dan menggantikan dengan pengerusi baharu," katanya pada sidang media di sini hari ini dengan kehadiran 16 daripada 19 ketua cabang berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Cabang PKR Selangau, Joshua Jabeng mendakwa 18 ketua cabang di negeri itu mahu Baru berundur sebagai pengerusi MPN PKR Sarawak.

Baru turut mendakwa terdapat Akuan Bersumpah yang diedarkan kepada ketua cabang berserta tawaran wang kepada mereka yang bersetuju dengan gerakan menjatuhkan beliau.

Sehubungan itu beliau menggesa sesiapa yang ditawarkan wang tersebut supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Walaupun terdapat gerakan untuk menjatuhkannya, Baru berkata, dia tetap mendapat sokongan 19 daripada 30 ketua cabang PKR Sarawak yang mahu beliau terus memimpin parti itu di Sarawak.

Sokongan itu merupakan pilihan majoriti dan berharap pimpinan PKR nasional menghormati autonomi PKR Sarawak dalam membuat keputusan itu.

Mengenai pembatalan Konvensyen PKR negeri pada Sabtu ini di Miri, Baru berkata, ia merupakan keputusan majoriti melibatkan 32 daripada 46 ahli MPN PKR negeri.

Artikel Berkaitan:

“(Penganjuran) konvensyen PKR (negeri) terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvensyen ini sama sekali mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN PKR Sarawak," kata Baru.

Beliau berkata, mesej yang ingin disampaikan adalah PKR Sarawak mahu perkara ini diperbetulkan dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa untuk melakukannya. - Bernama