X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah ahli majlis untuk Majlis Bandaraya Seremban dikaji

Teo Kok Seong (kanan) pada sidang media di Wisma Negeri hari ini. Turut kelihatan Exco Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nicole Tan.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengkaji bilangan komposisi Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang akan digabungkan menjadi satu entiti yang dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seremban bermula tahun depan.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, sekarang ini MPN dan MPS mempunyai 48 ahli majlis dan jumlah itu dijangka akan berubah selepas penggabungan kedua-dua organisasi tersebut.

Katanya, mengikut Akta Kerajaan Tempatan, setiap Majlis Perbandaran atau Bandaraya dibenarkan mempunyai 24 ahli majlis sahaja namun kerajaan Negeri Sembilan boleh menambah (bilangan ahli majlis) mengikut keperluan.

"Sekarang ini MPN dan MPS mempunyai jumlah keseluruhan ahli majlis adalah 48 orang, namun mengikut Akta Kerajaan Tempatan kita hanya dibenarkan melantik 24 ahli majlis sahaja jika Majlis Bandaraya Seremban diisytiharkan.

"Bagaimanapun kerajaan negeri juga berhak untuk membuat penambahan bilangan dengan mengikut undang-undang yang termaktub.

"Cabaran kita sekarang bagaimana mahu memastikan semua ahli majlis sedia ada terus berkhidmat di kawasan mereka. Kita sedang kaji untuk memasukkan semua tetapi itu juga perlu mengikut undang-undang kerajaan tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Tambah Kok Seong, Nilai dan Seremban merupakan satu kawasan yang sangat besar dan dikhuatiri membebankan jika mempunyai 24 sahaja ahli majlis untuk menjaga dua daerah tersebut.

Katanya, pihaknya kini sedang meneliti dan mengkaji jumlah yang sesuai bagi menjaga seluruh kawasan di bawah Majlis Bandaraya Seremban.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau itu bilangan baharu ini akan dilaksanakan pada tahun depan berikutan tempoh perkhidmatan ahli majlis akan tamat pada 31 Disember 2019.