Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 diberi vaksin polio

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Azim Zabidi bercakap ketika sidang akhbar pada majlis penyerahan tajaan kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina 2019 hari ini.- Foto Bernama
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Azim Zabidi bercakap ketika sidang akhbar pada majlis penyerahan tajaan kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina 2019 hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA akan mengambil langkah proaktif susulan saranan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) untuk memastikan kontinjen negara diberikan vaksin polio sebelum ke temasya sukan dwitahunan itu.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kontinjen negara yang terdiri daripada 1,114 delegasi termasuk atlet dan pegawai akan diberikan vaksin berkenaan.

"Semua akan ambil vaksin terutamanya vaksin polio, kerana kita telah dinasihatkan oleh PHISGOC, yang meminta semua diberikan vaksin polio. Kita putuskan untuk beri vaksin polio pada minggu lepas selepas menerima surat daripada penganjur.

"Surat daripada PHISGOC itu menyatakan ada kemungkinan penyakit polio di sana. Nak kata wabak itu sedang menular, tidak. Cuma ia sebagai langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang akhbar penajaan Bata Malaysia kepada kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 di Wisma OCM di sini hari ini.

Abdul Azim berkata, pengambilan suntikan vaksin itu dijangka diadakan esok semasa perhimpunan akhir kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 dari 30 November hingga 11 Disember.

Sebelum ini, kontinjen negara hanya diwajibkan untuk mengambil suntikan vaksin bagi mencegah wabak demam campak.

Dalam perkembangan lain, kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 mendapat suntikan semangat apabila Bata meneruskan sokongan sebagai kasut rasmi kontinjen negara dengan tajaan melibatkan 1,200 pasang, bernilai kira-kira RM150,000.

Kontinjen negara bakal menerima kasut sukan berwarna oren dan kuning, bagi dipadankan dengan jersi belang harimau yang akan dipakai ketika menerima pingat pada temasya sukan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kasut rekaan eksklusif dan tidak dijual kepada umum itu juga akan digunakan pada majlis perasmian dan penutup Sukan SEA ke-30 Filipina.

Untuk rekod, Malaysia akan diwakili 774 atlet dalam 52 daripada 56 sukan yang dipertandingkan di temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu. - Bernama