Kes remaja bawah umur salah guna dadah meningkat di Sarawak

A
A

MIRI - Polis Sarawak akan meningkatkan program berkaitan kesedaran penyalahgunaan dadah di sekolah berikutan peningkatan kes tersebut melibatkan remaja bawah umur 18 tahun.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M M Sree berkata, seramai 431 remaja bawah 18 tahun di Sarawak ditangkap kerana penyalahgunaan dadah dari Januari hingga Oktober tahun ini dengan 56 orang adalah pelajar.

"Pada tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2017 hanya 31 orang remaja bawah umur 18 tahun ditangkap dan meningkat lagi pada tahun 2018 dengan 59 orang remaja ditangkap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Remaja Bersatu Memerangi Jenayah di Sekolah Menengah Riam Road yang dirasmikan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Dev Kumar berkata, peningkatan jumlah penahanan remaja bawah umur 18 tahun itu berikutan polis Sarawak pada tahun ini memberi fokus membanteras kegiatan tersebut hingga ke peringkat akar umbi.

Katanya, program tersebut perlu dimulakan dari peringkat sekolah mulai tahun hadapan untuk meningkatkan lagi kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar. - Bernama