Aksi maksimum, Fify Azmi curi tumpuan dalam filem Wira

Fify Azmi - FOTO: GSC Movies
Fify Azmi - FOTO: GSC Movies
A
A
A
MELIHAT kepada personalitinya secara luaran, mungkin ramai meragui kemampuan pelakon baharu Fify Azmi untuk menjayakan watak wanita lasak yang perlu beraksi dengan pelbagai babak pertarungan melibatkan fizikal.

Namun, bekas finalis Dewi Remaja edisi 2015/16 ini membuka mata banyak pihak apabila berjaya tampil dengan aksi yang cukup meyakinkan menerusi watak Zain, dalam filem Wira yang bakal menemui penonton pada 21 November ini.

“Saya masih baru dalam bidang lakonan dan sebelum ini hanya memainkan beberapa peranan kecil sahaja dalam drama mahu pun filem.

“Wira merupakan penampilan pertama saya menjayakan karakter utama dan ia adalah sebuah filem aksi yang menuntut komitmen cukup tinggi daripada saya.

“Saya melihat ia sebagai peluang terbaik untuk mencabar diri dan memberikan sesuatu yang berbeza,” katanya yang terpilih untuk membintangi filem tersebut menerusi sesi uji bakat yang dihadirinya.

Percubaan pertama pemilik nama sebenar Nor Afiqah Mohamed Azmi, 29, ternyata berhasil apabila ramai memberikan respon positif ketika sesi tayangan media dan malam gala filem Wira baru-baru ini.

“Alhamdulillah kalau orang suka. Bukan senang untuk melakukan semua itu. Beberapa bulan sebelum penggambaran bermula, kami diminta menjalani latihan fizikal sebagai persiapan untuk babak aksi yang akan dilakukan.

“Jadi apabila mula penggambaran, masing-masing sudah dalam keadaan bersedia dan cuba memberikan yang terbaik. Setakat lebam dan bengkak itu sudah jadi perkara biasa buat saya dan rakan-rakan.

“Cuma ketika melakukan babak pertarungan pada pembukaan babak filem ini, leher saya hampir terkehel kerana digasak dengan aksi ekstrem. Apa pun semuanya OK kerana kami semua sudah dilatih untuk melakukan babak tersebut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi pada filem itu juga, Fifi turut mengorbankan rambutnya bagi memenuhi tuntutan watak.

“Mulanya saya teragak-agak bila diminta potong rambut, kerana rambut adalah aset bagi pelakon wanita macam saya.

“Namun apabila sudah berbuat berbuat demikian, baru saya faham penampilan itu banyak membantu saya untuk menjiwai karakter Zain.

“Sampai sekarangpun saya masih mengekalkan gaya potongan rambut tersebut kerana terlibat dengan sebuah telefilem yang juga mahukan saya tampil berambut pendek,” kata Fifi.