Mara lahir lebih 5,000 usahawan baharu

Rina (kanan) mencuba salah satu produk yang dipamerkan di WISE Kelantan di KTC hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Seramai 26,000 usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerima manfaat sebanyak RM350 juta melalui penyediaan ekosistem pembangunan yang disediakan tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, malah melalui Program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) juga pihaknya berjaya melahirkan lebih 5,000 usahawan baharu dan juga yang sedang memperkembangkan lagi perniagaan masing-masing.

“WISE di Kelantan merupakan program ke-10 yang menjadi ‘one stop centre’ kepada usahawan dan juga bakal usahawan untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan input menarik yang disediakan Mara dan sebagainya.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan daripada golongan wanita dan bawa mereka pergi jauh sehingga keluar negara dengan pelbagai platform yang telah kita sediakan untuk memasarkan produk-produk mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Rina merasmikan WISE Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Sazmi Miah.

Menurutnya, Mara sebenarnya mempunyai ekosistem lengkap untuk usahawan yang mana perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan skop-skop yang sangat berguna kepada bakal usahawan.

Beliau berkata, pihaknya akan melipat gandakan lagi usaha dan memperbanyakkan lagi program turun padang bagi mencungkil bakat usahawan baharu termasuk pameran usahawan yang telah berjaya untuk dijadikan inspirasi.

“Mara telah hasilkan ramai usahawan dan sejak ditubuhkan, lebih sejuta usahawan pelbagai bidang dilahirkan. Insya-ALLAH, kita akan adakan perhimpunan anak Mara nanti untuk kita kumpulkan kembali mereka yang pernah mendapat perkhidmatan daripada Mara dan simpan data-data mereka untuk bantu mereka jadi usahawan dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, tahun ini sahaja Mara Kelantan telah diperuntukkan sebanyak RM19.4 juta bagi pembiayaan perniagaan pelbagai skim yang boleh diterokai oleh usahawan wanita dan daripada jumlah tersebut, RM1 juta diperuntukkan untuk skim Dananita Khas untuk wanita.