22 anggota APMM Tok Bali dikhuatiri dijangkiti URTI

Anggota APMM Tok Bali menjalani pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan.
Anggota APMM Tok Bali menjalani pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seramai 22 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali dikhuatiri terkena jangkitan Upper Respiratory Tract Infection (URTI).

Jangkitan tersebut dipercayai berpunca daripada nelayan Vietnam yang ditangkap dalam operasi pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bagaimanapun 20 anggota pasukan itu disahkan bebas daripada jangkitan itu selepas pemeriksaan lanjut dilakukan pegawai perubatan.

"Dua lagi anggota perlu dirujuk ke Hospital Tengku Anis untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama APMM Tok Bali berdepan situasi tersebut.

Katanya, beliau berharap situasi itu tidak mematahkan semangat anggotanya untuk terus menjalankan tugasan mengawal perairan negara daripada ancaman musuh.

Pada Ahad lalu, seramai 18 nelayan Vietnam yang menjadi tahanan Maritim Malaysia Kelantan dikhuatiri menghidap virus URTI.

Dalam perkembangan lain Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pihaknya akan memohon peruntukkan daripada ibu pejabat untuk membekalkan vaksin kepada anggota yang menjalankan tugas rondaan di laut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini sebahagian langkah pencegahan awal berdepan situasi tersebut.

"Kebanyakan nelayan berkenaan mengabaikan aspek kebersihan di atas bot," katanya.