Angkasa sasar buka 16 Coop Farmasi tahun hadapan

Abdul Fattah (depan) melihat produk yang disediakan di farmasi tersebut sempena perasmian outlet coop farmasi di Bentong semalam.
Abdul Fattah (depan) melihat produk yang disediakan di farmasi tersebut sempena perasmian outlet coop farmasi di Bentong semalam.
A
A
A

BENTONG - Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk membuka 16 lagi outlet coop farmasi di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran tersebut berdasarkan kejayaan terhadap model yang juga perintis coop farmasi di Bentong yang beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, Angkasa menyasarkan setiap negeri satu outlet bermula tahun depan.

"Namun di Pahang sahaja, empat outlet lagi dibuka iaitu dua di Kuantan dan selebihnya di Rompin dan Temerloh.

"Angkasa akan mengeluarkan kos projek yang dibiayai bersama koperasi-koperasi terlibat kira-kira RM8 juta bagi tujuan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian outlet coop farmasi di Bentong semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Angkasa, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Pengarah Urusan Coop Farmasi, Abdul Aziz Jamaludin.

Ujar Abdul Fattah lagi, projek kerjasama perintis coop farmasi terbabit menyaksikan penglibatan Angkasa dan Koperasi Muslim Berhad.

Artikel Berkaitan:

"Angkasa sebagai badan akan sentiasa menjaga dan memberikan sokongan kepada gerakan koperasi supaya ia dapat berjalan baik dan sumbangan Angkasa sebagai ekuiti," jelasnya.

Mengulas saingan yang akan dihadapi, Abdul Fattah memberitahu, pihaknya tidak gusar sebaliknya optimis dengan sokongan ahli-ahli koperasi sedia ada.

"Dengan adanya farmasi ini ia juga boleh menjadi tempat bagi koperasi-koperasi lain yang mengeluarkan produk kesihatan seperti madu kelulut," tambahnya projek itu juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang terlibat dalam industri farmasi.