X

Kindly register in order to view this article
!

16,835 rakyat Perak terima manfaat program Perak Prihatin

May Ing ketika menjawab soalan pada sidang DUN Perak hari ini.
A
A

IPOH - Seramai 16,835 rakyat di Perak telah menerima manfaat menerusi pelaksanaan program Perak Prihatin setakat 30 September tahun ini.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing berkata, pemilihan penerima dibuat melalui penyelarasan dua agensi pemberi bantuan negeri iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Kerajaan negeri begitu komited dalam memastikan hanya golongan yang betul-betul layak dan diperakui sah sebagai golongan miskin dan miskin tegar sahaja akan menikmati bantuan ini.

"Kita yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) kedua-dua agensi berkenaan kerana setiap penerima yang layak telah diverifikasi dan diperakukan layak melalui beberapa proses permohonan seperti siasatan latar belakang dan kedudukan kewangan isi rumah," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Menurutnya, tahun ini kerajaan Perak hanya mampu memperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk dan bantuan am negeri di bawah JKM.

"Keadaan ini berlaku disebabkan faktor kekangan sumber kewangan sedangkan kita sedar jumlah penerima yang memerlukan untuk program ini di seluruh negeri adalah jauh lebih besar.

"Kerajaan negeri akan berusaha lebih kuat untuk meningkatkan pendapatan dan hasil negeri supaya dapat terus membela nasib lebih ramai rakyat yang memerlukan," katanya.