Larangan berhijab: Kesatuan guru Kanada fail saman

Ribuan penduduk terutama yang beragama Islam tampil mengadakan tunjuk perasaan terhadap larangan mengenakan pakaian keagamaan di Quebec.
Ribuan penduduk terutama yang beragama Islam tampil mengadakan tunjuk perasaan terhadap larangan mengenakan pakaian keagamaan di Quebec.
A
A
A

TRENTON - Kesatuan guru yang memiliki ahli seramai 45,000 orang di Quebec telah memfailkan saman berhubung larangan memakai simbol keagamaan terhadap penjawat awam dalam sektor tertentu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Larangan itu yang mengecualikan petugas sedia ada membabitkan pengambilan baharu anggota polis, guru dan peguam.

Penjawat awam lain seperti doktor dan pemandu bas dikecualikan daripada larangan itu selagi wajah tidak ditutup.

Ia secara efektif melarang pemakaian hijab, tanda palang Kristian, serban dan kippah semasa bertugas.

Firma guaman di Quebec, Gattuso Bourget Mazzone, mengendalikan saman itu bagi pihak pelanggannya, Federation autonome de le’enseignement (FAE).

Beberapa kumpulan lain termasuk organisasi kebebasan awam dan Majlis Kebangsaan Islam Kanada, turut memfailkan saman dengan alasan larangan itu secara tidak adil menyasarkan wanita Islam yang memakai hijab.

“Kami mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa hak-hak ahli kami telah dicabuli oleh kerajaan negara ini; hak bagi kebebasan beragama tentu sahaja tetapi juga hak bagi kesamarataan kerana majoriti orang yang terjejas ialah wanita,” kata Remi Bourget, rakan kongsi firma guaman itu.

Kira-kira 75 peratus guru di Quebec adalah wanita.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh undang-undang baharu itu, Perdana Menteri Justin Trudeau berkata, kerajaan tidak mempunyai hak untuk memberitahu orang ramai bagaimana untuk berpakaian dan tidak menolak kemungkinan kerajaan persekutuan akan mencelah dalam kes tersebut.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Quebec Francois Legault memberi amaran agar Trudeau tidak campur tangan.

Tinjauan pendapat menunjukkan bahawa undang-undang baharu itu popular dalam kalangan penduduk Quebec.

Sementara itu, sentimen anti-Islam semakin meningkat di Quebec yang menyaksikan 58 peratus jenayah kebencian di Montreal tahun ini menyasarkan orang Islam, kata polis.

Apabila Nour Farhat, seorang peguam di Quebec yang memakai hijab, menulis artikel mengkritik undang-undang baharu itu dalam jurnal undang-undang berbahasa Perancis, beliau telah menerima ancaman bunuh dan penghinaan menerusi e-mel.

Farhat, yang ingin bertugas sebagai pendakwa raya wilayah, tidak boleh berbuat demikian selagi beliau memakai hijab.

“Saya tidak boleh bekerja dengan kerajaan, mereka tidak mahu saya bekerja dengan mereka,” katanya. - Bernama