Kerajaan digesa lihat semula gaji graduan TVET: NUTP

Harry Tan Huat Hock
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan melihat semula kadar gaji bagi graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di semua peringkat bagi memartabatkan bidang tersebut menjadi golongan kelas pertama.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huan Hock berkata, pembayaran gaji lumayan dan setimpal perlu diwujudkan bagi golongan itu bermula daripada penjawat awam di peringkat sokongan sehingga profesional dalam usaha menarik lebih ramai lepasan sekolah cemerlang memilih bidang itu.

“Ini bermakna pensyarah yang mengajar TVET contohnya yang mengajar di Kolej Vokasional mesti diberi gaji asas dan ditambah elaun kemahiran.

"Sekiranya pembayaran gaji yang lumayan dan setimpal dilihat semula, kemungkinan akan menarik lebih ramai pelajar yang berkelulusan A turut menyertai bidang pendidikan TVET ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohammad Naim Yaakub bahawa wujud penilaian tidak tepat oleh majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan kepada graduan TVET.

Katanya, walaupun terdapat garis panduan penetapan gaji di bawah Kementerian Sumber Manusia yang patut diguna pakai, namun ia sering diabaikan industri dengan alasan peningkatan kos operasi yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna.

Harry berkata, jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat melaksanakan penambahbaikan gaji graduan bidang itu, satu perubahan besar mungkin dapat dilihat dari segi penyertaan pelajar sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam TVET.

“Sokongan sepenuhnya perlu bagi mengangkat martabat TVET menjadi golongan kelas pertama bagi mencerminkan Malaysia sebagai negara maju,” katanya.