25 pendatang ditemui dalam kontena sejuk beku di Belanda

Seramai 25 migran ditemui dalam kontena sejuk beku sebuah kapal yang dalam perjalanan menuju ke Britain dari Belanda. -FOTO: AFP
Seramai 25 migran ditemui dalam kontena sejuk beku sebuah kapal yang dalam perjalanan menuju ke Britain dari Belanda. -FOTO: AFP
A
A
A

THE HAGUE - Kru feri Belanda menemui 25 pendatang dalam kontena sejuk beku sebuah kapal yang dalam pelayaran menuju Britain semalam, kata polis dan perkhidmatan kecemasan.

Kapal terbabit diarah berpatah balik ke Pelabuhan Vlaardingen, berhampiran Rotterdam dan kesemua migran diberi rawatan perubatan manakala dua daripada mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Beberapa orang ditemui dalam kontena sejuk beku sebuah kapal. Kapal kemudian berpatah balik ke pelabuhan.

"Kesemua 25 migran dibawa keluar dari kapal dan diberi rawatan yang diperlukan. Mesej awal yang diterima dari kapal mengatakan tiada kematian dilaporkan," kata perkhidmatan kecemasan wilayah Rotterdam di laman Twitter.

Anjing polis turut dikerah memeriksa kapal yang pada asalnya dalam perjalanan dari Belanda menuju Pelabuhan Felixstowe di Britain bagi memastikan tiada migran lain yang bersembunyi.

Media Belanda melaporkan, beberapa ambulan dan kenderaan kecemasan lain turut kelihatan di pelabuhan terbabit.

Menurut akhbar De Telegraaf, kapal terbabit merupakan feri kargo kendalian DFDS Seaways, dilaporkan migran menaiki kapal itu dengan lori treler.

Bulan lalu, mayat 39 migran warga Vietnam ditemui dalam sebuah kontena sejuk beku di Essex, Britain. - AFP

Artikel Berkaitan: