Kerajaan negeri terus bantu masyarakat Orang Asli

PAhang
PAhang
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri sentiasa membantu dan membela nasib kira-kira 78,636 masyarakat Orang Asli dari 17,982 keluarga di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk masyarakat Orang Asli yang mendiami tujuh Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) dan 257 buah Kampung Orang Asli di seluruh Pahang.

Melalui kenyataan di Facebook rasminya, beliau berkata, walaupun masyarakat Orang Asli di negeri ini hanya kira-kira 5.24 peratus daripada 1.5 juta keseluruhan penduduk Pahang, kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya manakala hak-hak mereka terus terpelihara kerajaan persekutuan bawah BN sebelum ini dan kerajaan negeri.

“Justeru gambaran sesetengah pihak kononnya Kerajaan Persekutuan pimpinan BN sebelum ini tidak membantu masyarakat minoriti ini tidak tepat.

“Dalam asas tempat tinggal misalnya, sejak tahun 1980 lagi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3) Kerajaan Persekutuan BN memperkenalkan RPS melibatkan masyarakat Orang Asli seluruh negara bagi membendung anasir subversif seperti komunis ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, RPS diperkenalkan untuk mengumpul Orang Asli ke satu kawasan dengan menyediakan kediaman dilengkapi prasarana asas dan projek ekonomi seperti program tanaman komersil kelapa sawit dan getah selain.

“Pahang mencatat bilangan RPS tertinggi iaitu tujuh daripada 17 yang diwujudkan seluruh negara.

“Tujuh RPS itu, RPS Betau dan Terisu dalam kawasan parlimen Cameron Highlands, Kedaik, Buluh Nipis dan Bukit Serok di Rompin; Runchang di Pekan dan RPS Iskandar di Bera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, masyarakat Orang Asli juga terus dilibatkan dalam program-program pembangunan sosio-ekonomi setempat terutamanya yang berkaitan dengan tanah dan pertanian di negeri ini.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah mewartakan 7,156.53 hektar rizab tanah Orang Asli di negeri ini dan 8,958.17 hektar lagi sudah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri tetapi belum diwartakan bagi tujuan tersebut.

“Kira-kira 8,571.36 hektar lagi dalam proses permohonan untuk kelulusan seterusnya untuk diwartakan sebagai rizab tanah Orang Asli,” katanya.

Secara keseluruhannya luas rizab tanah Orang Asli di Pahang kira-kira 24,686.06 hektar iaitu lebih besar jika dibandingkan dengan keluasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ( 24,346 hektar),” katanya.