Polis perlu beri alasan kukuh periksa telefon bimbit

Saiful Ambar
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak boleh membuat pemeriksaan telefon bimbit milik orang awam dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh.

Menurut Ahli Biro Perundangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Saiful Ambar Abdullah Ambar, pihak polis tidak sewajarnya memeriksa telefon bimbit milik orang awam tanpa alasan kerana ia mengandungi pelbagai maklumat penting yang tidak boleh dipamerkan.

"Telefon bukan lagi peralatan mewah namun ia merupakan alatan yang mengandungi data-data sulit yang tidak boleh didedahkan kepada pihak lain dengan sesuka hati," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Semalam Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam bagi memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain serta negara.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi jawab lisan Persidangan Dewan Rakyat memberitahu bahawa perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Saiful Ambar ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, pihak polis boleh menyiasat individu yang disyaki melakukan perbuatan jenayah di bawah AKM 1998 tetapi tidak boleh bertindak secara melulu.

"Pihak polis boleh memeriksa telefon bimbit ketika siasatan dijalankan, jika perbuatan individu berkenaan didapati bercanggah dengan undang-undang, bukannya bertindak melulu.

"Malah jika sesuatu kenyataan berbaur negatif dimuat naik di media sosial melalui telefon bimbit miliknya, pihak polis berhak memeriksa alat komunikasi terbabit untuk siasatan," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak diketahui oleh orang awam sekiranya pihak polis melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap telefon bimbit mereka.

"Kebanyakan orang tidak tahu tentang hak mereka untuk mendapatkan identiti polis yang membuat pemeriksaan secara rambang dan ia menyebabkan mereka sukar untuk membuat laporan polis jika mendapati berlaku pelanggaran SOP," katanya.