DBKL pihak berkuasa terbaik

Nor Hisham menjawab soalan pemberita sewaktu sesi wawancara di pejabat beliau baru-baru ini. Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
A
A

MUKADIMAH:

Kuala Lumpur kini berada di landasan yang betul ke arah mencapai status bandar raya bertaraf dunia menjelang 2040.

Menerusi pelaksanaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (KL2040), kota metropolitan itu mampu menjadi bandar terbaik dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pelbagai inisiatif diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Ikuti wawancara khas menerusi segmen Kota Kita minggu ini bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

****

SINAR HARIAN: Pada 2 Oktober lalu, genap setahun bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur. Bagaimana Datuk melihat prestasi setahun ini dan apakah pelan untuk tahun depan?

NOR HISHAM: Tahun ini masuk tahun kedua saya bersama DBKL walaupun dah bersara lebih kurang dua tahun sebelum ini. Saya lihat DBKL sebenarnya adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik.

Lebih kurang 10,000 kakitangan DBKL mempunyai iltizam, cita-cita dan semangat untuk jadikan Kuala Lumpur sebagai bandar terbaik selaras misi DBKL menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bertaraf antarabangsa.

Saya lihat golongan profesional dan skills workers dalam DBKL beri sumbangan besar. Kebanyakan mereka adalah unsung heroes.

Bila bercakap di luar DBKL pula, pembangunan di Kuala Lumpur begitu pesat dan kita sudah ada Pelan Tempatan 2020 dan akan datang Pelan Tempatan 2040. Pelbagai kemajuan ada di Kuala Lumpur, antaranya kemudahan bas GoKL, rumah untuk golongan B40 masih bujang, taman yang dinaiktaraf dan pelbagai lagi.

Walaupun Kuala Lumpur masih berdepan isu kesesakan lalu-lintas, namun kita ambil beberapa tindakan drastik untuk kurangkan kesesakan itu. Kita akan buat beberapa perancangan tahun depan.

Selain itu, kita sasarkan sebanyak 43,000 buah rumah mampu milik dibina dalam tempoh setahun. Bagi masalah rumah terbengkalai, ada yang sudah ada kelulusan Pelan Kebenaran Merancang (DO), namun disebabkan ketidakcukupun wang, maka kita bantu pemaju-pemaju itu untuk mulakan projek tersebut. Ia juga melibatkan bangunan komersil di Kuala Lumpur.

Contohnya Plaza Rakyat yang terbengkalai pada 1991 akibat kesan ekonomi ketika itu dan sehingga kini tidak laksana apa-apa. Begitu juga Puduraya.

Alhamdulillah akhir tahun ini, Plaza Rakyat akan dibina semula. Ia menunjukkan DBKL memandang serius perkara ini. Begitu juga dengan isu pembinaan Hyatt Hotel di Jalan Sultan Ismail yang terbengkalai sejak tahun 1998, akhir tahun ini juga akan dibina semula. Banyak juga rumah-rumah yang alami nasib sama contohnya berhampiran Bandar Sri Permaisuri, kita telah minta syarikat berkenaan untuk pastikan pembinaannya dilaksanakan semula. Kita tak mahu lagi projek ini terbengkalai kerana kelulusan DO sudah ada, pelan bangunan pun dah ada jadi tak ada alasan lagi untuk tak laksanakan lepas kita bantu.

Sekarang ini kita pantau supaya pelaksanaan ini dapat dijalankan lebih baik lagi. Ini menunjukkan bahawa Kuala Lumpur ini bukannya tergendala, tak boleh membangun dengan kemajuan-kemajuan terkini.

Ramai orang dakwa sekarang ini pemaju-pemaju terkesan dengan faktor ekonomi. Tapi sebenarnya tak. Kuala Lumpur akan tunjukkan bahawa perancangan ini boleh dilaksanakan. Warga Kuala Lumpur mencecah 2 juta orang. Kita tahu Kuala Lumpur ini di siang hari ada antara 4 ke 5 juta orang keluar masuk. Tapi pada waktu malam hanya 2 juta. Dan kita kena ceriakan orang-orang Kuala Lumpur ini dengan pelbagai cara.

Kita dah sediakan umpamanya di Bazar Merdeka setiap minggu diadakan pelbagai program. Di Bangunan Sultan Abdul Samad pula setiap malam memang cantik, kolam biru, Bukit Bintang dan lain-lain. Dengan cara begini kita rasakan ia perlu ditambah baik pada thaun 2020 kerana tahun hadapan banyak program akan diadakan di Kuala Lumpur. Ia meliputi World Book Capital (WBC) dimana Kuala Lumpur telah dipilih oleh UNESCO, kemudian Tahun Melawat Malaysia, Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan kemungkinan besar sambutan 31 Ogos pun bakai raikan di Kuala Lumpur.

Itulah apa yang perlu dibuat pada tahun ini dan tahun hadapan.

Kuala Lumpur merupakan antara destinasi terkenal pelancong di negara ini. Untuk itu, pastinya ia memerlukan pemandangan menarik untuk dikunjungi pelancong. Apakah Kuala Lumpur sudah mencapai tahap setinggan sifar?

NOR HISHAM: Pada dasarnya, kita boleh cakap ya. Kalau pergi ke beberapa kawasan umpamanya Segambut, ada lokasi tanah itu seperti setinggan, tapi itu bukan tanah kerajaan. Itu tanah pemaju dan hak milik orang. Setinggan di tanah kerajaan ini setakat ini Alhamdulillah tak ada.

Cuma kita kena bantu pemaju-pemaju ini. Itulah sebabnya mengapa kita keluarkan buku penyelarasan untuk rumah kongi buat pemaju-pemaju supaya tak ada lagi pihak-pihak luar yang menyewa rumah PPR, membuat rumah setinggan di merata tempat. Dengan adanya buku garis panduan itu, pemaju kena buat rumah panjang dan pekerja boleh duduk situ. Itu salah satu piawaian DKBL keluarkan.

Bagi saya bukan nak kata 100 peratus, tapi 95 peratus boleh dikatakan setinggan di Kuala Lumpur melibatkan tanah kerajaan ini tak ada.

Tunggakan sewa penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) mencecah RM58 juta. Apakah penyelesaian menyeluruh terhadap perkara itu?

NOR HISHAM: Sekarang ini, selepas kita buat kiraan semula dan pemutihan melibatkan unit yang berpindah, bertukar nama dan jumlahnya menurun kepada RM23 juta.

Keduanya kita buat engagement dengan penduduk di PPR untuk kita ketahui apa sebenarnya masalah mereka. Untuk mereka yang tak mampu bayar, kita beri kerja-kerja yang berkaitan dalam kawasan PPR umpamanya menjadi pekerja pembersihan dan duit yang diperolehi itu diguna untuk bayar sewa. Sebab sewa PPR masih lagi RM124 dan tak pernah naik sejak 30 tahun lalu. Tak pernah diubah. Sebab itu, kita nak lihat apa sebenarnya punca mereka tak boleh bayar.

Kalau bagi mereka yang beragama islam tak boleh bayar, ada institusi seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala bagi bukan Islam pula ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tapi kita lihat secara dasarnya ramai yang tak berapa kisah mengenai pembayaran ini sebab jumlahnya murah. Sekarang in kita ambil tindakan potong bekalan air. Kita tahu dia mampu bayar dan kita potong bekalan air. Bila kita potong bekalan air, boleh pula mereka bayar.

Bagi inisiatif pekerja pembersihan itu, kita dah mula di PPR Intan Baiduri, PPR Taman Mulia, PPR Seri Kota, PPR Semarak dan PPR Sungai Air Panas. Gaji yang mereka dapat akan dipotong untuk sewaan rumah.

Bagi golongan muda di PPR, kita juga ada tarik masuk Alam Flora untuk bekerja. Berkenaan masalah sosial di PPR itu, ia lebih kepada isu dadah. Itupun kita ambil pendekatan tertentu. Berapa kali dah kita buat untuk mereka pergi kursus, kuti scheme work, ceramah agama, bersantai dan harapnya ia akan kurangkan kepada gejala tersebut. Kita sentiasa jalankan aktiviti ini bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Jawatankuasa Penduduk PPR.

Baru-baru ini, Kuala Lumpur dilanda beberapa kejadian bencana contohnya tanah mendap di Flat PKNS Kampung Baru dan banjir kilat di Jalan Sultan Abdul Halim. Apakah faktor yang menyumbang kepada kejadian itu?

NOR HISHAM: Faktor utama adalah hujan lebat selain punca sistem perparitan dan saliran namun saya tak nak salahkan mana-mana agensi.

Bila jadi kes kita dapat kenal pasti punca antaranya sistem perparitan yang belum lengkap. Sebagai contoh kejadian banjir baru-baru ini DBKL syorkan pada pihak tertentu kaedan penyelesaian, kini bila hujan lebat keadaan dah kembali pulih.

Begitu juga dengan kejadian di Apartment Ixora berdekatan Bulatan Kampung Pandan sebelum ini. Kejadian itu menyebabkan 15 buah kereta tenggelam. Itu pun disebabkan pihak pemaju tutup sistem saliran dan lencongkan ke saliran baru yang belum lengkap. Bila hujan lebat air masuk ke kawasan apartment itu. Tapi kita dah dapat selesai isu itu.

Tanah runtuh di Apartment Azalea, Kampung Sungai Penchala itu pun berlaku di tanah persendirian. Kediaman itu tidak mendapat sijil layak menduduki (CF). Insititut Kerja Raya Malaysia (Ikram) syorkan penduduk supaya berpindah. Itu tak ada kena mengena dengan DBKL sebab ia memang tak dapat CF sejak lebih 20 tahun.

Bagi isu banjir di Bukit Segambut pula berpunca disebabkan oleh sistem saliran dan pembangunan. Itu semua menyumbang kepada banjir sedangkan saliran sedia ada tak boleh tampung air pada waktu hujan lebat. Sekarang kita minta pemaju berhampiran buat kolam takungan masing-masing. Macam di Bukit Segambut mereka dah buat empat kolam takungan.

Di Mount Kiara pun sama. Bila ada kolam takungan ini, ia dapat kurangkan masalah banjir. Air akan masuk ke dalam kolam takungan ini dahulu dan lepas itu baru disalirkan keluar sedikit demi sedikit. Begiktu juga di Jalan Sultan Abdul Halim. Kita dapati tanah di kawasan itu memang lembut sebab bawahnya ada laluan utiliti. Masa pembinaan utiliti ini dahulu, secara teknikalnya mereka tak mampatkan bahagian bawah. Jadi kebanyakan isu yang jadi kebelakangan ini adalah disebabkan masalah utiliti.

Kejadian di Ampang Hilir yang berpuluh tahun tak pernah dilanda banjir rupanya kejadian itu disebabkan oleh tindakan vandalisme pihak tertentu. Sepatutnya air itu semua masuk ke tasik tapi ada pihak tertentu yang masukkan tong sampah ke dalam lubang kecil yang menjadi laluan air dan mengganggu sistem saliran. Bila ditarik barulah air mengalir keluar tak sampai 10 minit. Jadi vandalisme ini juga turut menjadi punca.

Apakah inisiatif DBKL untuk mengurangkan masalah gelandangan?

NOR HISHAM: Gelandangan ini sebenarnya tak ada dalam akta DBKL. Ia tertakluk di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Memandangkan banyak antara gelandangan di Kuala Lumpur, kita bantu JKM untuk tempatkan mereka ini di pusat transit gelandangan yang dibina.

Ada antara mereka ini menjadi gelandangan tegar. Contohnya berdekatan Masjid Jamek ini, lepas ada pihak tertentu bagi makanan, ada antara mereka yang pergi hisap dadah. Tapi bukan semua begitu. Sebahagian sahaja. Lagi satu berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL). Cuba tengok malam-malam, sama juga. Yang sedihnya mereka ini semua orang Melayu.

Jadi, walaupun gelandangan ini tak ada bawah akta DBKL, kita tetap bantu dari segi tenaga dan kewangan. Cuma kita tak boleh tangkap. Ia di bawah bidang kuasa polis. Kita tak boleh usik pun.

Isu ulat parkir dilihat seperti tiada penghujung. Apa tindakan diambil DBKL menangani permasalahan itu yang didalangi penagih dadah?

NOR HISHAM: Baru-baru ini pun saya ada lihat kejadian ini di Jalan Raja Bot. Mereka beroperasi dengan bijak. Pada waktu malam, petang, hari Ahad dan cuti umum. Mereka tahu bahawa DBKL tak ada pada hari-hari tersebut. Saya tengok walaupun mereka ini tak ramai namun ia tetap mengganggu.

Kalau kita bagi 50 sen dia tak nak, nak RM3 hingga RM5 sahaja. Terutama orang muda dan perempuan yang takut dan terpaksa bagi. Kita kerap ambil tindakan-tindakan dan ada akta di bawah DBKL. Mereka juga boleh didenda sekali. Tapi benda ini sekejap ada, sekejap tak ada. Mereka juga boleh hidu kehadiran pihak penguatkusa DBKL.

Saya selalu terangkan kepada penguatkuasa yang mereka kena bijak. Jangan la muka yang sama pergi ke tempat-tempat itu. Mesti tukar-tukar. Bila sampai masa, terus tangkap. Kena selalu buat begitu. DBKL ada kuasa untuk tahan ulat parkir bersama-sama polis. Yang kita tak boleh tangkap adalah gelandangan dan orang yang pasang poster haram.

Presiden Institut Perancangan Malaysia (MIP), Ihsan Zainal Mokhtar pernah berkata, Kuala Lumpur mampu mencapai status bandar bertaraf dunia menjelang 2029, lebih awal daripada sasaran iaitu pada 2040. Bagaimana persediaan ke arah itu?

NOR HISHAM: Kalau tengok dalam Pelan 2040 dan masa Pelan Pengangkutan yang tengah kita buat sekarang ini, memang boleh capai status bandaraya dengan syarat apa yang kita rancangkan itu dapat kerjasama semua agensi-agensi lain termasuk daripada sektor swasta. Termasuk juga badan profesional. Seperti saya sering cakap, kita mesti bersama-sama. Matlamat itu dah ada. Semua kena terlibat.

Analogi dia sama seperti kejadian 12 orang terperangkap dalam gua di Thailand sebelum ini. Kita juga dah buat memorandum persefaham (MoU) dengan Tokyo, adakan persidangan antarabangsa mengenai urban forum, low carbon, perubahan iklam dan lain-lain. Malah kita juga pergi ke luar negara untuk lihat bandar-bandar yang sepatutnya kita mampu jadi lebih baik. Ia demi kesinambungan kerja. Bukan setakat 2029 tapi sebelum itu pun boleh.

Sebagai contoh sebelum ini saya terima laporan mengenai air bertakung berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kuen Cheng dan katanya isu ini dah tiga dekad masih sama serta tak ada perubahan. Tapi sekarang ini kita tengah buat penambahbaikan dan dalam akhir bulan ini akan siap jalan yang sebabkan air bertakung itu dan longkang semua kita dah korek untuk salurkan air ke Sungai Klang. Ini bermakna kita dengan dari orang ramai dan kita buat penambahbaikan.

Sekarang DBKL kena banyak mendengan, tak boleh marah dan cepat melenting. Kena steady supaya kualiti dapat ditingkatkan.

Apakah cadangan datuk untuk mengurangkan masalah trafik di Kuala Lumpur?

NOR HISHAM: Pelan Pengangkutan Pelan 2040 itu adalah perancangan untuk jangka masa panjang. Untuk jangka masa pendek, contohnya di Jalan Kinabalu berhampiran Stadium Merdeka, pada waktu petang keadaan lalu lintas di situ sesak sehingga ke Pasar Borong Selayang. Sekarang ini kita fikir bagaimana kita nak potong setengah daripada kesesakan itu supaya dari arah Pasar Borong Selayang kita boleh potong sampai Segambut. Kita dah tengok perkara itu secara spesifik. Kita panggil semua pihak berkaitan dan akan buat simulasi pada 13 Disember ini untuk tutup Jalan Sultan Sulaiman dan halakan masuk ke bawah Bulatan Merdeka dan keluar balik untuk jadian ia sehala. Jadi maksudnya dari arah Kuala Lumpur menuju ke Selatan arah Cheras dah tak ada lagi lampu isyarat.

Sekarang ini, dari Masjid Negara masalah kesesakan sebab lampu isyarat. Sebelum ini dua kali kita dah buat simulasi melalui komputer semua. Kita akan buat ini dan tak perlu tunggu 2040. Yang mana boleh jalan dulu kita jalan. Contoh lagi satu melibatkan jalan berhampiran Tun Razak Exchange (TRX). Jalan di situ ada libatkan tanah pemaju dan bukan tanah TRX. Sekarang ini kita runding baik-baik dengan pihak berkenaan.

Jadi kita minta bantuan mereka supaya masalah kesesakan dapat dikurangkan.

Baru-baru ini, sembilan wakil kedutaan turut membuat aduan dan kata DBKL tak pandang serius isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur ini. Saya dah pergi jumpa mereka semua dan bincang. Sekarang kita tempatkan penguatkuasa di kawasan terlibat dari jam 7 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat untuk bantu lalu lintas di sana.

Susulan itu, Kedutaan Amerika Syarikat turut hantar surat kepada DBKL untuk mengucapkan terima kasih. DBKL kena peka tentang semua perkara dan jangan hanya harapkan anak buah. Macam saya sendiri, saya lebih suka turun padang. Sebelum ini, saya bersama penjaja di Jalan Raja Bot. Dari situ kita tahu masalah dan dapat kurangkanya isu berkenaan.

Adakah DBKL mempertimbangkan cadangan mengenakan caj kenderaan persendirian di jalan pusat bandar sebagai usaha mengurangkan kesesakan di pusat bandar?

NOR HISHAM: Pertama kita menerusi Pelan Tempatan 2040, kita akan kurangkan parkir di kawasan Kuala Lumpur. Mana-mana pihak yang datang parkir di Kuala Lumpur kita akan letakkan juga caj yang tinggi. Jadi bila macam ini mereka akan susah untuk cari parkir. Keduanya kita dah kenal pasti satu lokasi di Taman Teman Desa Water Park. Dekat kawasan itu, ada tanah besar dalam 10-12 ekar. Sekarang ini, laluan Transit Aliran Massa (MRT) tengah dilaksanakan di kawasan itu bersama dengan sebuah stesen berhampiran.

Jadi lepas ini, mana-mana orang dari arah selatan yang nak masuk ke Kuala Lumpur boleh parkir di kawasan yang akan disediakan di tapak itu dan naik MRT. Itu salah satu cadangan. Kalau dari arah Shah Alam semua itu kita masih kenalpasti lagi lokasi. Sebab kita nampak ada beberapa tapi yang berpotensi tapi bukan di bawah DBKL dan ia milik Kerajaan Selangor. Yang mana arah timur semua milik Kerajaan Selangor. Inilah benda yang tengah kita bincang sama-sama. Kita juga akan banyakkan bas-bas GoKL kerana sambuntanya amat memberangsangkan.

Ramai orang gunakan bas GoKL ini lebih-lebih lagi di kawasan universiti, rumah-rumah PPR dan lain-lain. Buat masa sekarang juga DBKL belum ada perancangan untuk kenakan caj kepada bukan warganegara yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL ini.

Apa-apa pun kita tunggu untuk bincang dengan kementerian terlebih dahulu. Tahun depan juga kita rancangan tambah tiga lagi laluan perjalanan.

Adakah DBKL mempertimbangkan untuk mengehadkan pembangunan di Kuala Lumpur?

NOR HISHAM: Bukan hadkan tapi mengimbangkan pembangunan. Kita cuba kawal dengan menggunakan Pelan Tempatan 2040. Ketinggian berapa, zon itu zon apa. Sebab itu kita perlukan semua orang untuk beri pandangan kerana awal tahun depan kita akan keluarkan kita punya pelan-pelan itu untuk dipamerkan. Bukan hanya tempat-tempat tertentu sahaja tapi di semua kawasan supaya orang tahu termasuk di kaki lima jalan Tunku Abdul Rahman.

Sekurang-kurangnya, masyarakat boleh tengok dan bagi komen masing-masing. Sebab itu sekarang contohnya di Jalan Masjid India, mana ada lagi penjaja di tepi-tepi jalan.

Walaupun usaha itu dianggap kecil tapi orang dah mula senyum dengan apa yang kita buat. Orang Kuala Lumpur nampak DBKL ada buat sesuatu. Walaupun kecil ia bagi kesan besar kepada penduduk di sini. Sebab sekarang ini semuanya melibatkan will power.

Saya selalu panggil penjaja dan persatuan penduduk untuk duduk bersama dan bincang. Itu lebih baik. Sebab saya nak hasil. Dengan manusia kita perlukan lebih banyak engagement.

Kuala Lumpur bakal mencapai status bandaraya bertaraf funia. Berapa peratus persediaan DBKL ke arah itu?

NOR HISHAM: Ini melibatkan pelbagai faktor. Kita nak buat Smart City dan macam-macam lagi tapi kita juga tak boleh lupa untuk hasilkan Smart People. Kita buat cantik-cantik, tapi ada orang buat vandalism dan lain. Jadi tak guna. Sekarang kita kena didik dan adakan engagement. Kuala Lumpur ini perlu dibandingkan dengan Singapura. Tapi kita ada identiti kita sendiri. Singapura ini lebih banyak menggunakan Artificial Inteligence (AI) dan lain-lain. Tapi kita tak nak. Kita nak asli dan natural. Kalau nak bunga, kelip-kelip, ia harus natural.

Hendak bandingkan dengan Singapura boleh tapi kita ada identity sendiri. This is Malaysia, this is Kuala Lmpur. Kita buat cara kita tapi cantik.

Hendak cakap berapa peratus itu kita tak ada data. Nak kata Kuala Lumpur ini ketinggalan tak juga. Saya ingat menjelang 2040 nanti, saya boleh cakap dalam lingkungan 70-75 peratus tercapai menjadi bandaraya bertaraf dunia. Sebab kita ada semua. Cuma penyelenggaraan saja yang perlu diberi penekanan.

Selepas ini, apa lagi akan dilaksanakan oleh DBKL?

NOR HISHAM: Kita fokus untuk siapkan 1,000 buah rumah yang tergendala di Sri Perak, Sri Selangor dan lain-lain. Rumah-rumah itu dibina untuk dijual pada harga RM28,000 kepada orang-orang Melayu. Ia tergendala sejak 2015 dan sampai sekarang tak siap. Masalah itu lebih kepada pentadbiran.

Saya akan ambil tindakan dalam masa terdekat. Saya akan panggil semua untuk selesaikan masalah ini. Sekurang-kurangnya 1,000 orang Melayu dapat rumah dengan harga RM28,000 di Kuala Lumpur.

Saya akan lihat balik seperti mana yang saya buat di Plaza Rakyat dan Hyatt Hotel. Kami serius tentang perkara ini.

Baru-baru ini, kenderaan DBKL dilaporkan kena khianat selepas operasi di pusat pelacuran. Komen Datuk mengenai perkara itu?

NOR HISHAM: Itu masalah terpencil. Boleh dikatakan tiap minggu kita buat operasi tapi kita tak panggil media. Ada benda tertentu baru kita panggil. Cuma sekarang ini penguatkuasa bukan hanya fokus kepada pusat pelacuran sahaja tapi libatkan penjaja, pasar borong dan lain-lain. Baru-baru ini saya berkunjung ke PAsar Borong, Pasar Jalan Raja Bot dan Pasar Pudu.

Orang kat sana kurang. Orang jual pun kurang. Saya tanya kenapa dan mereka kata sebab penguatkuasa kerap buat operasi.

Operasi yang dilaksanakan di sana secara bersepadu. Dalam seminggu mesti ada agensi yang akan buat operasi di kawasan-kawasan ini.

Imej Kuala Lumpur dikatakan seperti Bangladesh pada cuti umum. Komen Datuk?

NOR HISHAM: Itu hanya di depan Plaza Kota Raya sahaja. Tempat lain itu tak sebab kawasan itu semua satu Malaysia turun.

Kita hendak cakap macam mana. Perkara itu lebih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi kita nak kurangkan warga asing macam mana, ada antara mereka miliki pasport dan dokumen lengkap.

Saya fikir kalau mereka tak ada pun, bangunan pun tak naik. Tapi perkara ini harus seimbang.

Mesej dan harapan kepada warga Kuala Lumpur?

NOR HISHAM: Kuala Lumpur kita punya. Apa pun saya sebagai budak bandar yang dilahirkan di Kuala Lumpur mahukan bandaraya ini bersih, selamat, tak ada kesesakan, utilities baik, ceria dan gembira sampai bila-bila.

Tanah perkuburan pun kita nak semua dalam keadaan baik. Dalam Kuala Lumpur, hidup mesti gembira, tak terlalu ekstrim dalam beragama. Kalau nak suarakan pandangan ada tempat-tempat dia tapi jangan kacau tempat awam.

Merosakkan tempat awam. Kita sekarang lebih terbuka. Kita dengar dan saya harapkan penduduk Kuala Lumpur rasakan konsep kepunyaan dan dapat jaga bandar ini sama-sama.