Nikmat sementara air karbonat

Gambar hiasan
A
A

KEDAH dikesan sebagai negeri tertinggi di Malaysia mempunyai rakyat yang menghidap penyakit kencing manis berdasarkan kepada nisbah jumlah penduduk. Perlis pula menduduki carta nombor dua.

Rakyat negeri lain pula jangan berasa selamat kerana penyakit kencing manis menyerang mangsa tidak kira di mana anda berada.

Paling ketara Merak Jalanan lihat tabiat pemakanan warga kota yang gemar kepada makanan segera yang dihidangkan bersama air berkarbonat.

Jarang sekali dilihat pelanggan berada di restoran berkenaan minum air kosong, sebaliknya mereka mampu menghabiskan air berkarbonat saiz paling besar.

Rasanya yang begitu manis membuatkan penggemar minuman berkenaan akan memastikan air yang dibeli akan dihabiskan hingga titisan yang terakhir.

Jika dilihat kepada statistik, Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis yang tertinggi di Asia dan antara tertinggi di dunia.

Pada tahun lalu, Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI), Datuk Dr Mustaffa Embong berkata, kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit diabetes dan

statistik dalam rekod NADI menunjukkan hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak sedar mereka menghidap kencing manis.

Merak Jalanan pernah berbual dengan seorang penggemar minuman berkarbonat. Gadis dari Kelantan yang berusia sekitar 20-an itu mengakui mempunyai simpanan ‘bekalan’ sekurang-kurangnya dua tin minuman di dalam tas tangannya setiap hari.

Katanya yang mahu dikenali sebagai Mia, dia cuba untuk mengawal ketagihan itu namun sering tewas apabila fikirannya yang sering terkenangkan kenikmatan meminum air karbonat.

Kepada Mia dan mereka yang mempunyai tabiat sama, janganlah tergolong dalam statistik tidak sedar sudah menghidap diabetes. Apabila sudah tersedar masa itu sudah terlambat!